Dagangan Malaysia merosot 14.5% kepada RM198 bilion pada April 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Dagangan Malaysia merosot 14.5% kepada RM198 bilion pada April 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 19 Mei - Prestasi perdagangan Malaysia rendah pada April 2023 apabila susut 14.5% kepada RM198 bilion tahun ke tahun susulan ekonomi global yang tidak menentu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia merosot 17.4% daripada RM127.6 bilion kepada RM105.4 bilion pada April 2023 susulan eksport domestik yang lebih rendah.

 

"Eksport domestik bernilai RM80.4 bilion, menyumbang 76.3% kepada jumlah eksport, menyusut 22.3% berbanding bulan yang sama tahun lepas.

 

Beliau berkata, sejajar dengan prestasi eksport, import pada April 2023 turut mencatatkan penurunan 11.1% daripada RM104.1 bilion kepada RM92.6 bilion.

 

Jumlah dagangan berkurangan 14.5% kepada RM198.0 bilion daripada RM103.5 bilion pada April 2022 manakala lebihan dagangan turun 45.3% kepada nilai RM12.8 bilion, katanya.

 

Mohd Uzir berkata, perbandingan bulanan juga menunjukkan prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan mencatatkan penguncupan masingmasing sebanyak 18.7%, 10.1%, 14.9% dan 51.9%.

 

Meninjau daripada kumpulan barangan, 191 daripada 256 kumpulan barangan eksport dan 167 daripada 259 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan berbanding April 2022, katanya.

 

 

dosm

 

 

DOSM turut melaporkan bahawa pengurangan eksport disumbangkan terutama ke Kesatuan Eropah (-RM3.5 bilion), diikuti China (-RM3.4 bilion), Amerika Syarikat (AS) (-RM3.1 bilion), Taiwan (-RM1.9 bilion), Jepun (-RM1.6 bilion), India (-RM1.5 bilion), Vietnam (-RM1.4 bilion) dan Thailand (-RM1.3 bilion).

 

Sementara itu, penurunan import disumbangkan terutama dari Indonesia (-RM3.0 bilion), diikuti Jepun (-RM2.1 bilion), China (-RM1.7 bilion), Taiwan (-RM1.4 bilion) dan AS (-RM1.2 bilion).

 

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, Mohd Uzir berkata, penurunan didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (-RM3.1 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.6 bilion); barangan perkilangan logam (-RM2.5 bilion); bahan kimia dan keluaran kimia (-RM2.4 bilion); produk keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (-RM1.7 bilion); keluaran getah (-RM1.6 bilion) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (-RM1.4 bilion).

 

Beliau berkata sementara itu, penguncupan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (-RM4.5 bilion); petroleum mentah (-RM1.9 bilion); bahan kimia dan keluaran kimia (-RM1.8 bilion); bijih logam dan serpihan logam (-RM1.6 bilion) 11dan hasil perlombongan lain (-RM836.7 juta).

 

Pada masa yang sama, penurunan import mengikut penggunaan akhir disumbangkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi barangan perantaraan dan barangan penggunaan, katanya.

 

DOSM menambah, import barangan perantaraan (48.9% daripada jumlah import) berjumlah RM45.3 bilion, susut RM14.5 bilion atau 24.2%.

 

Import barangan penggunaan berjumlah RM8.2 bilion, turun 1.6% berbanding April 2022, dan merangkumi 8.8% daripada jumlah import.

 

Barangan modal pula (11.0% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 11.8 peratus daripada RM9.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM10.2 bilion.

 

Di samping itu, prestasi keseluruhan bagi Januari hingga April 2023, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan merosot berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Jumlah dagangan turun 1.6%, sejajar dengan pengurangan eksport (-2.6%) serta import (-0.3%), lapor Bernama.

 

Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan penurunan 12.7% kepada RM77.2 bilion. - DagangNews.com