Daim dakwa 'reformasi musang berbulu ayam', sibuk melunaskan dendam lampau | DagangNews Skip to main content

Daim dakwa 'reformasi musang berbulu ayam', sibuk melunaskan dendam lampau

Tun Daim Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan aset. - Gambar DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Jan - Tun Daim Zainuddin yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan akan melawan habis-habisan pertuduhan tersebut yang antaranya dikatkan beliau sebagai 'melunaskan dendam lampau'.

 

Memulakan kenyataan media dengan menegaskan pendakwaan hari ini bermotifkan politik, bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau tidak sabar menunggu hari perbicaraan.

 

Walaupun uzur dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dahulu, namun kata Daim, keyakinan beliau tetap tidak goyah - merujuk kepada apa yang didakwanya sebagai usaha melawan penyalahgunaan kuasa oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

"Saya tidak akan berbicara mengenai tuduhan bermotifkan politik terhadap saya ini. Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak.

 

"Namun, saya ingin menyatakan sesuatu mengenai keadaan negara kita. Seperti ramai yang lain yang mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Anwar pada 2018. Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

"Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalah guna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya," katanya.


 
Malah, dalam kenyataan media beliau itu, Daim turut membangkitkan tindakan Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang didakwanya dilakukan 'demi mencapai jawatan Perdana Menteri'.

 

"Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

 

"Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan LHDN diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

 

"Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka," jelasnya.

 

Daim - ahli korporat yang kemudian menceburi politik pada awal 80-an sehingga dilantik menganggotai Kabinet kemudian mengingatkan Anwar bahawa apa yang dilakukan semua ini ada tempiasnya.

 

"Ketika sibuk melunaskan dendam yang lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat biasa berterusan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

 

"Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah. Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.

 

"Tetapi saya khuatir nasib negara saya," katanya yang pernah berada bersama Anwar dalam Kabinet ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

 

Sehubungan itu, Daim menyeru semua rakyat Malaysia untuk melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini. 

 

Menurut beliau, orang ramai tidak perlu takut untuk bersuara terhadap Anwar dan rejimnya kerana sesebuah kerajan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya.

 

"Seperti kata pepatah, "Untuk memenangkan kejahatan, cukup sekadar orang baik tidak melakukan apa-apa." Rakyat layak mendapat yang dijanjikan.

 

"Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah akan firman Allah SWT dalam Surah al-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji dalam kalangan orang-orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat. 

 

"Dan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui," tegasnya mengakiri kenyataan media tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Daim minta dibicarakan pertuduhan gagal isytihar aset termasuk 38 syarikat, 25 hartanah

 

Daim berdepan pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

 

Beliau kemudian minta dibicarakan dan mahkamah membenarkan ikat jamin Daim sebanyak RM280,000.

 

Daim kini berusia 85 tahun dan tiba di pekarangan mahkamah dengan bekerusi roda dan peguamnya ketika prosiding hari ini memaklumkan bekas Menteri Kewangan itu uzur dengan bergantung pada penglihatan sebelah mata selain mengalami masalah buah pinggang.

 

Ketika membuat pengakuan tidak bersalah, Daim berada di kerusi roda berhampiran kandang tertuduh.

 

Anwar semalam sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan agensi penguatkuasaan dalam menyiasat atau merampas harta mana-mana individu yang terkait dengan siasatan kes rasuah.- DagangNews.com