Dakwaan 30 kes EVALI di Malaysia adalah tidak betul, kata dua NGO kesihatan | DagangNews Skip to main content

Dakwaan 30 kes EVALI di Malaysia adalah tidak betul, kata dua NGO kesihatan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 MeiPersatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR) dan Pusat Advokasi Rawatan Ketagihan Lanjutan (ACATA) mendedahkan data Kementerian Kesihatan mengatakan terdapat 30 kes EVALI di negara ini sebagai tidak betul.

 

Presiden ACATA, Dr Arifin Fii berkata, banyak kajian dan data yang dibentangkan oleh KKM mengandungi maklumat salah.

 

“Misalnya, dalam laporan terbaharu ia mengatakan bahawa terdapat 30 kes EVALI yang dilaporkan kepada KKM setakat ini.

 

“Ini tidak benar. 30 kes ini tidak disahkan sebagai kes kerana EVALI hanya disahkan di Amerika Syarikat dan tiada negara lain di dunia ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi MSHR, Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cara untuk menguruskan kebarangkalian kejadian seperti EVALI bukanlah melalui larangan tetapi peraturan.

 

“Ini kerana larangan sepenuhnya akan mendorong perokok dan vaper lebih jauh ke kancah sumber seludup,” ujar beliau yang juga merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Pakar Ekonomi Kesihatan dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

MSHR dan ACATA menggesa Kementerian Kesihatan agar memikirkan semula keputusan mereka untuk meneruskan dasar penamat generasi rokok (GEG).

 

 

parafrasa

 

 

Sementara kedua-dua MSHR dan ACATA gembira dengan komitmen Kerajaan mahu mengurangkan kelaziman merokok di negara ini, pengharaman keras yang merangkumi produk pengurangan bahaya seperti vape, adalah tidak produktif.

 

Kedua-dua badan ini membuat ulasan sebagai maklum balas terhadap pengumuman baru-baru ini oleh KKM yang mahu membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

 

Dr Arifin berkata “Epidemik tembakau adalah salah satu ancaman kesihatan awam terbesar di dunia, membunuh lebih 8 juta orang setahun, termasuk kira-kira 1.2 juta kematian akibat pendedahan kepada asap rokok. Ia membunuh 27,200 rakyat Malaysia setiap tahun.”

 

“Terdapat bukti yang kukuh dan boleh dipercayai untuk menyokong bahawa produk vape adalah kurang berbahaya daripada merokok. Bukti juga menunjukkan bahawa vape dengan cekap membantu perokok untuk berhenti.

 

“Selanjutnya, kajian telah menunjukkan bahawa peratusan tidak pernah merokok yang menggunakan vape adalah sangat kecil. Sebuah kajian tempatan pada 2020 di Malaysia mendapati hanya 0.6% mereka yang tidak merokok menggunakan vape, menolak tepi dakwaan mengatakan vape menarik pengguna baharu,” kata beliau.

 

Dr. Sharifa Ezat berkata, maklumat yang komprehensif mesti dinilai dengan teliti atau kerajaan berisiko membuat keputusan berat sebelah.

 

“Bagi mereka yang tidak merokok atau telah berjaya berhenti merokok (menggunakan NRT dll), maka tidak perlulah mereka mula menggunakan vape. Sekiranya vape dibenarkan digunakan dalam kalangan perokok, ia boleh memberi manfaat dari segi mengurangkan kemudaratan tembakau dan mengurangkan populasi perokok.

 

Ini selaras dengan kemajuan negara maju lain seperti New Zealand, Jepun dan United Kingdom yang mencatatkan penurunan dalam kelaziman merokok.

 

“Data kami menunjukkan bahawa mereka yang merokok kedua-dua rokok dan vape telah mengurangkan penggunaan rokok mereka, sambil menggunakan vape pada masa yang sama”

 

Berdasarkan anggaran, kadar perokok di Malaysia akan berkurangan daripada 4.88 juta pada 2019 kepada 4 juta pada 2025 disebabkan pelbagai sebab termasuk penggunaan vape.

 

Statistik ini adalah sejajar dengan data daripada beberapa negara yang membenarkan penggunaan vape sebagai strategi untuk mengurangkan risiko tembakau, sebagai tambahan kepada rawatan standard menggunakan terapi gantian nikotin.

 

“Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan, kerana pada masa ini, terdapat ramai perokok beralih kepada vape atau produk haba bukan bakar di Malaysia, sebagai usaha berhenti merokok. Namun, produk-produk ini memerlukan peraturan dan kawalan yang pragmatik,” kata beliau. – DagangNews.com