Dakwaan dana pilihan raya dikaitkan dengan hasil premium insurans INSAN disifatkan tuduhan berniat jahat - MB Selangor | DagangNews Skip to main content

Dakwaan dana pilihan raya dikaitkan dengan hasil premium insurans INSAN disifatkan tuduhan berniat jahat - MB Selangor

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM 23 Ogos - Dakwaan dana pilihan raya dikaitkan dengan hasil premium insurans Skim Insurans Am Selangor (INSAN) untuk rakyat negeri ini seperti tular di media sosial disifatkan sebagai tuduhan berniat jahat.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga menafikan dakwaan maklumat peribadi dalam rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) disalahgunakan oleh kerajaan negeri dan diserahkan kepada syarikat insurans untuk tujuan program kebajikan itu.

 

"Soalan (dakwaan) itu berniat jahat, tiada kaitan langsung dana untuk PRN. Itu saya boleh sahkan 100% atau 120%," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kali pertama hari ini.

 

ARIKEL BERKAITAN: Laporan polis dibuat terhadap insurans hayat Selangor (Insan), dakwaan melanggar data peribadi

 

Beliau berkata, kerajaan negeri hanya berhubung dengan SPR untuk mengumpulkan data bagi prapendaftaran.

 

"Sebenarnya itu (adalah) data awam yang kita peroleh dan itu yang didaftarkan sebagai prapendaftaran.

 

"Sebab itu bagi mereka yang membuat prapendaftaran perlu mengesahkan dengan gambar swafoto, gambar kad pengenalan masing-masing bagi mengesahkan pendaftaran berkenaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu terbabit yang tular di media sosial.

 

Amirudin menjelaskan, selepas pemilik membuat pengesahan, barulah nama serta maklumat mereka terangkum dalam sistem insurans itu.

 

 

amirudin

 

 

"Polisi itu hanya akan termaktub selepas diserahkan dengan memenuhi beberapa kriteria iaitu swafoto dengan kad pengenalan masing-masing, barulah polisi itu diaktifkan sepenuhnya.

 

"Itu hanyalah prapendaftaran, jika tidak berminat tak perlu aktifkan maklumat peribadi. Keuntungan ke, dana pilihan raya, ini adalah tuduhan berniat jahat," katanya.

 

Pada masa sama, beliau akan mengarahkan pihak pengendali mengetatkan atau melaksanakan proses pembaikan jika ada isu berkaitan perlanggaran data peribadi, lapor Berita Harian.

 

"Kita akan jelaskan secara terperinci dan akan memantapkan kawalan (data) kita. Jika berlaku perlanggaran terhadap data maklumat.

 

"Saya juga akan mengarahkan pihak pengendali memberikan penjelasan terperinci berhubung isu ini," katanya.

 

Terdahulu, tular di media sosial beberapa individu mempersoalkan jumlah bayaran oleh kerajaan negeri untuk premium insurans bagi 6 juta rakyat Selangor.

 

Mereka juga mempersoalkan langkah pendaftaran automatik, yang disahkan Amiruddin sebagai prapendaftaran, tanpa permohonan dilakukan oleh syarikat insurans yang berkemungkinan penggunaan data peribadi orang diinsurans tanpa pengetahuan mereka. - DagangNews.com