KUALA LUMPUR 31 Jan - Pemegang saham terbesar Kumpulan SMTrack Berhad (SMTrack), Tan Sri Lee Kim Yew membidas dakwaan seorang aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai CheguBard berhubung penglibatan beliau dalam perjanjian Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Kim Yew berkata, beliau terkejut dengan dakwaan menerusi hantaran di media sosial itu yang disifatkan sebagai fitnah dan mencemarkan nama baik beliau.
"Mengenai CheguBard, seperti yang saya selalu katakan orang Melayu mesti berhenti bergaduh. Tetapi apa pun yang dia katakan, dia tetap menghormati saya. Nampak dia seorang cikgu yang memperjuangkan kebenaran.
"Tetapi pada postingnya baru-baru ini, saya terkejut sebagai seorang guru dan Muslim yang taat, dia begitu cuai menggunakan tindakan buli siber tidak bertanggungjawab dengan menyerang, memfitnah dan mencemarkan nama baik saya serta mendakwa saya terlibat dalam perjanjian RFID SMTrack, tanpa memeriksa maklumat dan fakta sebenar dengan teliti," katanya menerusi surat terbuka kepada CheguBard hari ini.
Menurut Kim Yew, beliau (CheguBard) tidak perlu memohon maaf dan berharap beliau memadam hantaran itu melalui media sosial kerana dakwaan itu tidak benar.
"Peguam telah menasihatkan saya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan tuntutan saman berjuta-juta ringgit, namun saya secara peribadi tidak mahu mengeluarkan sebarang saman, kerana saya menghormati Chegu. Tetapi, untuk melindungi nama keluarga, saya mesti melakukannya jika dia tidak memadam hantaran itu.
"Sekiranya jika saya meneruskan tindakan guaman, saya hanya akan menampung yuran guaman saya yang pasti akan menelan belanja besar dan apa-apa lebihan daripadanya kami dermakan kepada badan amal," katanya.
Katanya, beliau menyifatkan surat terbuka itu dibuat atas dasar sebagai kawan yang tidak mengenali beliau (CheguBard).
"Jika anda (CheguBard) benar-benar beranggapan saya seorang berakhlak buruk dan patut difikirkan pengajaran, sila bawa perkara ini kepada polis atau mahkamah dan tolong hentikan gangguan siber," katanya.
BACA JUGA: SMTrack sangkal dakwaan terlibat dengan RFID, pertimbang tindakan undang-undang
Tambah beliau, setiausaha syarikatnya telah membuat laporan polis mengenai isu RFID itu yang sama sekali merupakan berita palsu. - DagangNews.com