AMERIKA SYARIKAT 16 Julai - Penularan virus COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) akan dapat dikawal dalam masa empat hingga lapan minggu jika semua penduduk negara itu memakai pelitup muka.
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Robert Redfield berkata, sudah tiba masanya masyarakat AS memakai pelitup muka bagi mengurangkan penularan wabak dalam tempoh empat minggu.
"Sekarang adalah masa untuk semua orang memakai pelitup muka termasuk mereka yang tidak bergejala. Sekiranya semua orang memakai pelitup muka mulai sekarang, saya fikir dalam empat, enam dan lapan minggu ke depan kita dapat kendalikan wabak ini.
"Mereka yang tidak mahu memakai pelitup muka adalah satu kelakuan yang tidak patut dan boleh diibaratkan seperti memilih untuk menjalani pembedahan oleh pasukan perubatan yang juga tidak memakai pelitup muka," katanya dalam wawancara jurnal JAMA, seperti dipetik Business Insider.
Beliau bersama rakan CDC lain, Dr. John Brooks dan Dr. Jay Butler turut melampirkan beberapa kajian dan laporan kes yang menunjukkan pengurangan penularan wabak ekoran pemakaian pelitup muka.
Satu kajian mengenai penjagaan kesihatan terbesar di Massachusetts telah menunjukkan bagaimana penggunaan pelitup muka secara menyeluruh dalam kalangan kakitangan kesihatan dan pesakit dapat mengurangkan kadar jangkitan.
Dalam pada itu, satu laporan CDC turut memperincikan kes tersebut dan menyatakan penggunaan pelitup muka yang konsisten dan betul adalah amat penting dalam meminimumkan penyebaran SARS-CoV-2 daripada mereka yang presimptomatik, asimtomatik dan somptomatik.
"Dua keadaan sekiranya memakai pelitup muka iaitu dapat melindungi orang yang memakai dan orang disekeliling mereka.
"Memang tidak masuk akal jika menjalani pembedahan oleh pasukan perubahan yang tidak memakai pelitup muka, kami sengaja samakan perkara tersebut kerana kita tahu percakapan dan pernafasan doktor ketika menjalani pembedahan akan menghasilkan mikroba yang dapat menjangkiti luka terbuka," jelasnya lagi
Pihaknya turut mengakui, masih ada perkara lain yang perlu ditangani selain pemakaian pelitup muka untuk benar-benar bebas daripada wabak berkenaan. - DagangNews.com