KUALA LUMPUR 20 Sept - Dasar digital yang lebih inklusif akan diwujudkan untuk menambah baik persekitaran yang mendukung pembangunan ekonomi digital, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, Agenda Digital Rakyat 2023 (DNA23) akan memberi kefahaman dan meningkatkan penyertaan yang lebih menyeluruh semua lapisan masyarakat dalam transformasi digital.
Katanya, Industri Berasaskan Teknologi dan Digital memberi tumpuan kepada peningkatan terima guna teknologi termaju merangkumi kecerdasan buatan, bahan termaju dan pengkomputeran kuantum sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.
"Saya telah bertemu dengan pemain utama sektor Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi seperti Google, Amazon Web Service, Microsoft dan IBM, yang telah menunjukkan minat untuk menyokong usaha kerajaan bagi melahirkan lebih ramai bakat digital tempatan yang berkemahiran tinggi," katanya.
Terdahulu, Rafizi membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
KSP RMK12 menggariskan dasar dan inisiatif bagi memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI.
Beliau berkata, pembangunan syarikat pemula adalah prasyarat bagi mempercepat peralihan struktur ekonomi negara.
Justeru, ekosistem modal teroka akan diperkukuh untuk mempercepat pembentukan syarikat pemula berasaskan teknologi.
Ini termasuk inisiatif khusus untuk mengumpulkan sumber pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Tumpuan juga akan diberikan kepada pelabur dan syarikat pemula pada peringkat awal untuk memperkasa lebih ramai bakat tempatan sebagai pencipta dan pembangun teknologi," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, bagi menghasilkan lebih ramai teknousahawan tempatan, satu konvensyen syarikat pemula akan dianjurkan dalam masa terdekat.
Katanya, kerajaan juga menyediakan geran berjumlah RM266 juta pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf unikorn dan sebanyak RM63.9 juta telah disalurkan sehingga kini. - DagangNews.com