KUALA LUMPUR 19 Sept - Kerajaan menggubal Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 selepas mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran bagi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor tenaga di seluruh dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya permintaan dan kos bekalan tenaga yang semakin meningkat dan ia dilihat akan terus memberi tekanan kepada kerajaan untuk menanggung subsidi yang tinggi agar kehidupan Keluarga Malaysia tidak terbeban.
Beliau berkata, visi DTN iaitu Kemampanan Tenaga untuk Mencapai Kemakmuran Bersama disokong tiga objektif iaitu meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga; mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga; dan memastikan kelestarian alam sekitar.
"Sebagai contoh, bagi tahun 2022, kerajaan dijangka menanggung subsidi tenaga sebanyak RM37.3 bilion bagi petrol, diesel dan LPG (Gas Petroleum Cecair).
"Kerajaan juga menampung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion, bagi manfaat Keluarga Malaysia serta memberikan jaminan pembiayaan sehingga RM6 bilion kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), agar operasinya tidak terjejas," katanya pada majlis pelancaran Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 hari ini.
Ismail Sabri berkata, kemelut pandemik dan ketidaktentuan geopolitik dunia, serta isu perubahan iklim yang serius turut memberi kesan kepada harga bahan api dan peralihan kepada tenaga yang lebih mampan.
Beliau berkata, kerajaan akan terus bersikap prihatin dan memberi jaminan bahawa Keluarga Malaysia akan terus mendapat akses kepada bekalan tenaga yang terjamin pada harga mampu bayar.
"Pada masa yang sama, satu penyelesaian holistik amat diperlukan bagi menjamin bekalan tenaga, kemampanan alam sekitar dan kemakmuran Keluarga Malaysia selain menggalak daya saing dan inovasi dalam industri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
"DTN juga akan memperkemas dan mengharmoni pelbagai dasar berkaitan tenaga sedia ada bagi memastikan sektor ini terus kalis cabaran pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com