Datasonic catat perolehan tertinggi berjumlah RM252.6 juta pada 9MFY23 | DagangNews Skip to main content

Datasonic catat perolehan tertinggi berjumlah RM252.6 juta pada 9MFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - Datasonic Group Berhad mencatat perolehan RM252.6 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 (9MFY24), meningkat 5.3% daripada RM239.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya (9MFY23).

 

Penyedia rumusan ICT bersepadu berkaitan keselamatan terkemuka Malaysia itu berkata pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi untuk pasport, kad pintar dan perkhidmatan pemperibadian.

 

Keuntungan bersih kumpulan bagi 9MFY24 kekal sama pada paras RM53.7 juta yang dicatat pada 9MFY23.

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah berkata, kumpulan itu berbesar hati dapat mencapai rekod perolehan berturut-turut bagi prestasi sembilan bulan teratas terutamanya di dalam persekitaran sekarang yang mencabar.

 

Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah
Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah

 

 

Keutamaan Datasonic kekal pada penyampaian produk dan rumusan yang lancar, tidak terganggu dan berkualiti kepada pelanggan.

 

Pada Januari 2024, Datasonic memperoleh lanjutan kontrak RM134.95 juta untuk rumusan pasport Malaysia dan anugerah kontrak RM28.69 juta untuk pembekalan rumusan MyKad.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), pendapatan Datasonic berjumlah RM80.5 juta, berbanding RM82.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya yang didorong bekalan autogate lebih tinggi.

 

 

 

 

Sementara itu, keuntungan bersih 3QFY24 mencecah RM16.5 juta, sebahagian besarnya sama dengan RM16.7 juta yang dicapai pada suku sama tahun lepas.

 

Bagi suku dalam tinjauan, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi tempoh kewangan semasa kepada 1.7 sen.- DagangNews.com