MELAKA 20 Jun - KAJ Development, pemaju induk projek Melaka Gateway dan Melaka International Cruise Terminal (MICT) mengumumkan hari ini bahawa syarikat mengukuhkan Lembaga Pengarah dengan pelantikan Dato’ Mircle Yap Ching Chai sebagai Pengarah Bebas.
Melaka Gateway, sebuah projek pembangunan strategik yang membawa kepentingan nasional, bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Melaka dan mengukuhkan Malaysia sebagai satu daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan perniagaan antarabangsa.
Sebagai seorang tokoh berpengalaman dalam kewangan antarabangsa dan tadbir urus korporat, Mircle akan menyumbang kepakarannya kepada KAJ Development dalam kapasiti bukan eksekutif dengan menyediakan bimbingan dan pengawasan strategik kepada projek Melaka Gateway.
Mengulas pelantikannya, Mircle berkata, “Saya teruja untuk menggunakan pengalaman dan idea saya untuk memajukan cita-cita Melaka Gateway dalam peranan baru saya di KAJ Development sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, terutamanya dalam bahagian strategik amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).”
KAJ Development, dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka, sedang menerajui kerja-kerja ke atas pulau pertama Melaka Gateway yang juga dikenali sebagai PME-1.
Kawasan ini dijangka akan menjadi pusat rancak pelancongan dan perniagaan, serta menjadi lokasi MICT masa hadapan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development, Datuk Michelle Ong berkata, “Kami tidak sabar menantikan impak transformatif yang Dato’ Mircle akan bawa dalam peranan barunya.
"Pengalamannya yang luas akan membantu mengemudi haluan polisi strategik dan ESG serta memupuk penciptaan nilai (value creation) bukan sahaja untuk Melaka Gateway, tetapi juga untuk komuniti tempatan,” kata beliau.
"KAJ Development dengan gembira mengalu-alukan pelantikan Dato’ Mircle ke lembaga dan yakin bahawa pandangan strategik beliau akan menjadi penting kepada Melaka Gateway, terutamanya ketika Melaka Gateway sedang menuju ke arah pemulihan".
Baru-baru ini, KAJ Development telah memasuki persetujuan bersama dengan konsortium organisasi-organisasi Timur Tengah untuk membangunkan MICT dan zon perdagangan bebas yang dicadangkan, bertujuan untuk menambahkan lagi tawaran nilai Melaka Gateway.
Setelah siap, MICT dijangka akan menjadi destinasi bertaraf dunia dengan pelbagai kemudahan yang lengkap dan menyeluruh untuk menyokong pertumbuhan industri pelayaran. - DagangNews.com