Dayang catat rugi bersih RM15.94 juta suku pertama berakhir 31 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Dayang catat rugi bersih RM15.94 juta suku pertama berakhir 31 Mac 2023

KUALA LUMPUR 23 Mei - Dayang Enterprise Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM15.94 juta pada suku pertama (1Q) berakhir 31 Mac 2023, daripada untung bersih RM13.76 juta setahun lalu.

 

Hasil susut sebanyak 30% kepada RM112.42 juta bagi suku tersebut daripada RM160.13 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Syarikat itu mengaitkan kerugian dalam pendapatannya pada 1Q disebabkan pesanan kerja yang lebih rendah atau kontrak yang diberikan daripada syarikat minyak utama pada suku tersebut yang terjejas oleh cuaca monsun.

 

"Walaupun hasil berkurangan sebanyak 30%, keuntungan kasar menyaksikan pengurangan yang lebih besar iaitu kira-kira 76 peratus hasil daripada perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi kesan daripada inflasi, kos pra-penggerakan dan beberapa penyelenggaraan kapal yang ditanggung," katanya.

 

Ia juga melaporkan kerugian sesaham RM1.38 berbanding pendapatan sesaham RM1.19 setahun lalu.

 

Dayang Enterprise mula menggerakkan aset dan sumbernya untuk pelaksanaan luar pesisir bermula Mac 2023 apabila musim tengkujuh telah berakhir.

 

"Pada suku seterusnya, kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan kami dalam pelaksanaan perancangan mereka dan projek baharu yang berpotensi dalam ruang penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta sambungan dan pentauliahan (HUC).

 

"Sehingga Mac 2023, anggaran kontrak pengeluaran tertunggak kami ialah kira-kira RM1.30 bilion," katanya.

 

Syarikat itu menyatakan bahawa ia digalakkan oleh perkembangan positif dalam industri. - DagangNews.com