DC Healthcare meterai perjanjian taja jamin dengan M&A untuk penyenaraian IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

DC Healthcare meterai perjanjian taja jamin dengan M&A untuk penyenaraian IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif DC Healthcare, Dr Lai Ngan Chee, Dr Chong Tze Sheng, Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A, Datuk Bill Tan dan Timbalan Ketua Kewangan Korporat M&A, Danny Wong ketika majlis menandatangani perjanjian taja jamin untuk penyenaraian IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - DC Healthcare Holdings Bhd, pakar dalam perkhidmatan perubatan estetik mengumumkan perjanjian taja jamin dimeterai dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Berdasarkan pendedahan prospektus seperti yang diterbitkan di laman web Bursa Securities, langkah penyenaraian DC Healthcare melibatkan terbitan awam sebanyak 199.26 juta saham atau 20% daripada jumlah saham terbitan kumpulan yang ditawarkan pada harga IPO dan tawaran jualan sebanyak 99.63 juta saham mewakili 10% daripada modal saham yang diperbesarkan kepada pelabur terpilih.

 

Saham IPO akan diperuntukkan dengan cara berikut:

 

Terbitan awam

Rakyat Malaysia

 

  • 49.82 juta saham terbitan mewakili 5% daripada modal saham kumpulan yang diperbesarkan, yang mana 2.5% akan disediakan kepada pelabur awam dan 2.5% akan disediakan kepada pelabur awam Bumiputera.

 

Pengarah dan pekerja yang layak

 

  • 29.89 juta saham terbitan mewakili 3% daripada modal saham diperbesarkan kumpulan akan dikhaskan untuk pengarah dan pekerja yang layak di bawah peruntukan borang merah jambu.

 

Penempatan persendirian kepada pelabur terpilih

 

  • 119.55 juta saham terbitan mewakili 12% daripada modal saham diperbesarkan kumpulan dikhaskan untuk pelabur terpilih.

 

Tawaran untuk dijual

 

  • Menawarkan penjualan 99.63 juta saham tawaran yang mewakili 10% daripada modal saham diperbesarkan kumpulan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Di bawah perjanjian itu, M&A akan menaja jamin 79.7 juta saham terbitan yang disediakan kepada orang awam dan melalui peruntukan borang merah jambu. 

 

Baki 119.56 juta saham terbitan dan 99.63 juta saham tawaran yang akan diletakkan oleh M&A tidak akan ditaja jamin.

 

Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr Chong Tze Sheng berkata, pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan M&A untuk IPO, meneruskan perjalanan yang pertama dimulakan dengan pembukaan klinik pertama pada 2016.

 

Katanya, ia menyediakan perkhidmatan perubatan am dan kemudian beralih kepada menyediakan dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan estetik. 

 

"Kami kini mempunyai 12 klinik perubatan estetik dan merancang untuk membuka lebih banyak lagi dengan menggunakan hasil daripada IPO," katanya.

 

Kumpulan menyediakan perkhidmatan estetik, perkhidmatan perubatan am dan penjualan produk penjagaan kulit. DC Healthcare mempunyai kehadiran pasaran di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, dan Kuala Lumpur.

 

Bagi tempoh 5 bulan berakhir 31 Mei 2022, kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM18.45 juta berbanding RM8.48 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya dengan margin keuntungan bersih masing-masing sebanyak 22.08% dan 16.47%.  

 

Perkhidmatan estetik menyumbang 92.11% kepada jumlah pendapatan untuk tempoh 5 bulan berakhir 31 Mei 2022 berbanding 87.46% pada tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com