Dhaya Maju beli 51% saham Pestech bernilai RM160 juta | DagangNews Skip to main content

Dhaya Maju beli 51% saham Pestech bernilai RM160 juta

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Syarikat pembinaan rel milik sendirian, Dhaya Maju Infrastructure Sdn Bhd menandatangani perjanjian membeli saham sehingga 51% firma kejuruteraan elektrik, Pestech International Bhd.

 

Cadangan terbaharu itu dibuat hanya sehari selepas gergasi pembinaan IJM Corp Bhd membatalkan rancangannya untuk membeli 44.83% saham dalam Pestech pada harga RM124 juta atas sebab tidak memenuhi syarat dalam perjanjian pembelian.

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia, Pestech berkata perjanjian yang ditandatangani itu mencadangkan langganan sekurang-kurangnya 1.03 bilion saham bernilai 15.5 sesaham berjumlah kira-kira RM160 juta. 

 

"Dhaya Maju akan menjalankan semakan usaha wajar Pestech.

 

"Langganan yang dicadangkan itu mewakili kerjasama strategik dan sinergi antara Pestech dan Dhaya Maju bertujuan meningkatkan daya saing, menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif, membolehkan penyertaan dalam projek berskala lebih besar dan mengembangkan jejak geografi kedua-dua pihak," katanya.

 

Menurut Pestech, kedua-dua pihak akan berunding dan melaksanakan perjanjian muktamad dalam tempoh dua bulan. 

 

 

hhh

 

Pestech juga berkata semasa tempoh perundingan, syarikat itu tidak akan berbincang dengan pihak lain mengenai pengumpulan dana ekuiti atau bertindak balas terhadap sebarang pendekatan dilaksanakan oleh pihak luar.

 

“Kedua-dua pihak akan memanfaatkan kekuatan dan kecekapan masing-masing, khususnya dalam pembangunan infrastruktur berkaitan rel bagi menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan pengurusan projek serta melaksanakan pembinaan bersepadu kepada pelanggan mereka,” katanya.

 

Menerusi perjanjian itu, Dhaya Maju terlibat dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan kereta api dan lebuh raya, kejuruteraan kereta api dan teknologi serta pembangunan hartanah. 

 

Pada Khamis, Pestech yang kini menghadapi cabaran kewangan berikutan penamatan perjanjian dengan IJM berkata, ia akan meneroka pilihan pembiayaan alternatif.

 

Menurut penyata kewangan terkini Pestech, wang tunai dan baki bank syarikat itu bernilai RM62.54 juta pada akhir Mac, manakala jumlah pinjamannya mencecah sebanyak RM1.10 bilion. 

 

Walaupun perjanjian itu ditamatkan, Pestech berkata ia tidak menjejaskan usaha sama sedia ada dengan IJM bagi menjalankan projek pemindahan orang automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- DagangNews.com