Dialog rancang teroka segmen tenaga hijau di luar negara - HLIB | DagangNews Skip to main content

Dialog rancang teroka segmen tenaga hijau di luar negara - HLIB

Pengerang Deepwater Terminal 2 (PDT2).

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Dialog Group Bhd. merancang untuk memperluaskan penglibatannya menerusi segmen tenaga hijau di luar negara dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Low Jin Wu berkata, pada masa sama, Dialog turut bercadang untuk meneroka peluang untuk menjadi pemilik aset bagi tenaga diperbaharui susulan pembinaan projek kendali dan pindah (BOT) seperti perniagaan terminal tangki.

 

"Kami difahamkan oleh pihak pengurusan bahawa Dialog sedang berusaha untuk terlibat dalam tenaga bersih di New Zealand memandangkan negara itu tidak lagi mengeluarkan permit luar pesisir bagi menjalankan sebarang aktiviti minyak dan gas.

 

"Kumpulan juga melihat tenaga angin sebagai sumber yang berpotensi di negara tersebut terutama kedudukannya yang strategik bagi pengeluaran tenaga berkenaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baru-baru ini, bank pelaburan itu menyertai sesi sidang video dengan pengurusan kumpulan untuk meninjau prestasi Dialog sepanjang tahun ini. 

 

Buat masa ini, Dialog melihat aktiviti terminal tangki semakin meningkat dalam kalangan pelanggannya apabila terminal RAPID sedia untuk beroperasi. 

 

Ketika ini, kadar terminal tangki itu adalah stabil dengan berlegar sekitar AS$6/cbm dan tidak timbul sebarang masalah dengan pengguna. Terminal bebasnya juga telah digunakan sepenuhnya buat masa ini. 

 

Bagi pembangunan projek Pengerang Terminals (Two) Sdn. Bhd. (PT2SB), kumpulan sedang meninjau untuk menambah lagi tangki sedia ada kepada kemudahan tersebut berdasarkan permintaan pelanggan. 

 

Dalam masa sama, kumpulan juga sedang bekerjasama dan berbincang dengan pelbagai pihak untuk mengembangkan Pengerang DeepWater Terminals (PDT) Fasa 3A kerana infrastruktur umum yang ada didedikasikan untuk Fasa 3A yang sudah siap beserta Jeti 3.

 

"Kami juga dimaklumkan, Dialog akan mengembangkan kemudahan Langsat 3 jika ada permintaan pengambilan daripada para pelanggan, tetapi kami menjangkakan ia akan memakan masa memandangkan perintah sekatan pergerakan yang masih dilaksanakan di Malaysia," jelas Jin Wu. 

 

Secara dasarnya, menurut beliau, pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada operasi Dialog meskipun diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting apabila bekalan terjejas dengan pelaksanaan sekatan pergerakan.

 

Dialog kini beroperasi dengan kira-kira 60% kapasiti bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan pejabatnya juga beroperasi pada kapasiti 20%.

 

Namun, kumpulan masih optimis berada di landasan yang betul untuk menyiapkan kebanyakan projeknya dan sedang berbincang dengan para pelanggannya mengenai kos di luar jangka ini.

 

"Kami juga dimaklumkan, kumpulan sudah melaksanakan 2 kali pemotongan gaji membabitkan pengurusan kanan dan sekali sahaja membabitkan pengurusan peringkat pertengahan sejak pandemik ini bermula tahun lalu.

 

"Tetapi, bagi peringkat junior atau pekerja peringkat bawahan, tiada pemotongan gaji dilaksanakan," katanya.

 

HLIB Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Dialog dengan harga sasaran RM3.45. 

 

"Malah, kami melihat Dialog berada di bawah nilai ketika ini, setelah sahamnya merosot lebih 30% sebelum itu," katanya.  - DagangNews.com