KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tawaran diskaun sebanyak 50% diberikan kepada penyewa di semua premis Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) bermula Oktober ini.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, diskaun yang diberikan hingga Disember 2020 itu melibatkan kira-kira 220 penyewa.
"Bantuan ini adalah lanjutan daripada pengecualian sewa sepenuhnya yang dijalankan selama enam bulan sejak April lalu.
"Memandangkan pengecualian penuh itu berakhir bulan depan, PUNB memutuskan untuk melanjutkan lagi bantuan dengan memberi pengurangan sewa sebanyak 50% untuk tiga bulan lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke premis perniagaan PUNB di Pusat Industri Seri Rampai hari ini.
Bantuan yang memanfaatkan seramai 220 penyewa itu melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM1.3 juta.
Manakala, pengecualian sewa penuh yang diberikan PUNB sejak April hingga September ini pula melibatkan sebanyak RM5.3 juta.
Dalam pada itu, Noh memberitahu, peniaga juga boleh membuat rayuan bagi mendapatkan lebih banyak pengurangan sewa premis sekiranya perniagaan terjejas teruk.
"Kami boleh mempertimbangkan rayuan pengurangan melebihi 50% jika usahawan tersebut benar-benar terjejas akibat wabak COVID-19, dengan syarat mereka mempunyai rekod pembayaran yang bagus.
"PUNB juga akan memperkenalkan Skim Pembayaran Sewa Beli Premis atau 'rent to own' kepada semua usahawan Bumiputera yang berhasrat memiliki aset untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka," jelasnya lagi.
Tambahnya, skim tersebut akan membantu usahawan untuk memiliki premis melalui aset PUNB, pembelian premis pihak luar serta pembelian premis baharu.
"Sewa bulanan yang dibayar boleh dianggap sebagai bayaran ansuran kepada harga premis sekiranya mereka bersetuju dengan tawaran pemilikan premis atau aset PUNB," ujarnya. - DagangNews.com