DKSH raih pendapatan hampir RM2.1 bilion pada 1QFY24, meningkat 5.3% | DagangNews Skip to main content

DKSH raih pendapatan hampir RM2.1 bilion pada 1QFY24, meningkat 5.3%

DKSH Holdings  (Malaysia) Berhad mencatatkan pendapatan RM2.1 bilion pada 1QFY24.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Mei - DKSH Holdings  (Malaysia) Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.1 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), meningkat 5.3% berbanding suku sama pada 2023.

 

Untung bersih bagi 1QFY24 pula meningkat kepada RM40.44 juta berbanding RM37.03 juta setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DKSH berkata, peningkatan dalam pendapatan disebabkan oleh pertumbuhan yang kukuh dari pelanggan sedia ada dan jualan dari pelanggan baru dalam segmen penjagaan kesihatan.

 

Selain itu, penjualan segmen lain di outlet yang lebih tinggi dan penjualan yang berdaya tahan untuk segmen barang pengguna juga menyumbang kepada peningkatan pendapatan bagi suku pertama 2024.

 

"Akibatnya, keuntungan sebelum cukai bagi suku tersebut meningkat sebanyak 9.1% berbanding suku yang sama 2023.

 

"Berbanding suku keempat sebelumnya, keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 21.8% hasil daripada elaun yang lebih rendah untuk penghutang perdagangan, kos logistik yang lebih rendah dan kos sekali sahaja tidak berulang," katanya dalam makluman itu.

 

DKSH Malaysia terlibat dalam barangan pengguna, penjagaan kesihatan dan teknologi.

 

Sementara itu, DKSH berkata, walaupun menghadapi cabaran daripada iklim makroekonomi semasa, Kumpulan optimistik mengekalkan portfolio perniagaan yang pelbagai dengan berhati-hati terhadap prospek.

 

"Untuk mengekalkan kejayaan, kami akan terus menumpukan pada meningkatkan keupayaan kakitangan, mempercepatkan pendigitalan dan memanfaatkan automasi.

 

"Penekanan strategik kami kekal pada mengembangkan perniagaan sedia ada dan mendapatkan perniagaan baharu, meningkatkan kecekapan kos dan sumber, mengurus modal kerja dan memantau prospek jangka pendek secara berhemat untuk mengemudi persekitaran semasa.

 

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada dinamik pasaran jangka panjang yang menggalakkan, arah aliran industri dan peluang penyatuan di rantau Asia Pasifik," katanya. - DagangNews.com