DNB umum pelantikan lima ahli lembaga pengarah baharu wakili industri | DagangNews Skip to main content

DNB umum pelantikan lima ahli lembaga pengarah baharu wakili industri

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 25 April - Digital Nasional Bhd (DNB) mengumumkan pelantikan lima ahli lembaga pengarah baharu, terdiri daripada pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi.

 

Menurut DNB, CelcomDigi Bhd mencalonkan Ketua Pegawai Transformasinya, Datuk Kamal Khalid manakala Maxis akan mempunyai Pengarah Bebasnya, Uthaya Kumar K Vivekananda dalam lembaga pengarah.

 

Katanya, Pengarah U Mobile Sdn Bhd, Chang Yit Fei, peguam Kumpulan Telekom Malaysia Bhd, Nik Azli Abu Zahar dan Pengarah Urusan YTL Power International Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong juga akan menyertai lembaga pengarah DNB.

 

Pelantikan kesemua mereka berkuat kuasa 24 April 2024.

 

“DNB berharap untuk mendapatkan input dan arahan berharga daripada lembaga yang baru ditubuhkan dalam memacu kemajuan infrastruktur digital Malaysia dan penggunaan teknologi 5G merentas industri, perusahaan, sektor awam dan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

5 syarikat meterai perjanjian bagi peroleh pegangan dalam DNB, penganalisis kekal 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi

 

Pelantikan itu berikutan perjanjian langganan saham yang ditandatangani antara DNB, Kementerian Kewangan Inc, dan lima pengendali rangkaian mudah alih pada 1 Disember 2023.

 

lembaga
Selain lima individu yang mewakili industri, terdapat dua lagi ahli lembaga pengarah DNB daripada pihak kerajaan. 

 

Kata DNB, kelima-lima mereka akan menyertai penyandang iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Ma Sivanesan Marimuthu dalam lembaga pengarah syarikat itu.

 

DNB merupakan syarikat milik kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pelancaran infrastruktur rangkaian 5G- DagangNews.com