DNeX raih lanjutan kontrak penyelenggaraan aplikasi HITS bernilai RM11.2 juta daripada LHDN | DagangNews Skip to main content

DNeX raih lanjutan kontrak penyelenggaraan aplikasi HITS bernilai RM11.2 juta daripada LHDN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menerusi Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC) berjaya memperoleh lanjutan kontrak penyelenggaran dan sokongan perisian serta penambahbaikan aplikasi Sistem Percukaian Bersepadu Hasil (HITS) bernilai RM11.2 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Kumpulan itu berkata, menerusi kontrak selama dua tahun itu, IAC akan beroperasi dari Ibu Pejabat LHDN di Cyberjaya. 

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kontrak itu menunjukkan keupayaan kumpulan dalam menyediakan rangkaian perkhidmatan komprehensif dan rumusan teknologi maklumat (IT).

 

"Kami berterima kasih kepada LHDN kerana terus mempercayai kami dalam pelaksanaan projek ini dan ia akan mengukuhkan keupayaan IAC dalam penggunaan serta mengekalkan sistem kompleks yang dibangunkan menggunakan platform pembangunan aplikasi kod rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

​IAC adalah sebahagian daripada segmen perniagaan Perundingan Teknologi dan Integrasi Sistem (Perunding Teknologi dan SI) DNeX yang fokus dalam pengurusan projek IT.

 

dnex
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

Syarikat itu sebelum ini berjaya menyempurnakan projek di sektor awam dan swasta termasuk Sistem Perakaunan Kewangan dan Pengurusan Kerajaan Bersepadu (iGFMAS).​

 

Syed Zainal Abidin berkata, komited untuk menjadi rakan kongsi teknologi dengan membangunkan rumusan inovatif yang mempercepatkan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi pengguna.

 

"Pelan strategik kami melibatkan memperluaskan penawaran perkhidmatan dengan memajukan keupayaan kami dan merebut peluang dalam bidang teknologi baharu seperti IoT, Data Besar dan analitik. 

 

 

"Ini akan meletakkan kami pada kedudukan yang kukuh apabila memasuki tender untuk projek IT dan pendigitalan berskala besar daripada sektor awam dan swasta, dalam dan luar negara," katanya.

 

Beliau berkata, di Malaysia, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat seperti MIMOS Berhad, Accenture Solutions Sdn Bhd dan Strateq Sdn Bhd bagi mencipta penawaran digital dan teknologi bersama.

 

Katanya, di peringkat global, DNeX telah menjalin kerjasama dengan organisasi ternama termasuk Ajlan & Bros, antara konglomerat swasta terbesar di Asia Barat dan rakan kongsi teknologi utama China bagi membida projek teknologi di rantau Asia Barat dan Afrika Utara. - DagangNews.com