KUALA LUMPUR 20 Okt - Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun ketiga 2023 berkembang 3.3% berbanding 2.9% pada suku tahun kedua 2023, berdasarkan anggaran awalan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan terus memacu prestasi keseluruhan pada suku tahun ini, manakala sektor pembinaan kekal bertumbuh sederhana.
Selain itu katanya, sektor pertanian menunjukkan pemulihan selepas mencatatkan penyusutan pada suku tahun sebelumnya.
"Bagaimanapun, sektor perlombongan & pengkuarian dan pembuatan menguncup pada suku tahun ini. Oleh itu, prestasi keseluruhan bagi tiga suku tahun pertama 2023 menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9%% berbanding 9.2% pada suku ketiga 2022, dengan pertumbuhan ekonomi yang sederhana pada suku tahun ketiga," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata, dari segi prestasi sektoral, sektor perkhidmatan meningkat 5.1% pada suku tahun ketiga 2023 berbanding 4.7% pada suku kedua 2023.
Katanya, prestasi yang menggalakkan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.
"Selain itu, sektor pembinaan bertumbuh 5.8% pada suku tahun ketiga 2023 berbanding 6.2% pada suku kedua 2023. Sektor pertanian meningkat secara marginal 0.8% pada suku tahun ini berbanding -1.1% pada suku kedua 2023 , disumbangkan pengeluaran yang lebih baik dalam subsektor kelapa sawit," katanya.
Sebaliknya, sektor perlombongan & pengkuarian menyusut marginal 0.1% berbanding -2.3% pada suku kedua 2023, disumbang penurunan pengeluaran dalam subsektor gas asli.
Sektor pembuatan turut merekodkan penurunan marginal sebanyak 0.1% pada suku tahun ini, dipengaruhi pembuatan berasaskan produk elektrik, elektronik & optikal dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik berikutan permintaan luar yang lebih lemah.
Bagaimanapun, produk minuman & tembakau dan produk peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan meningkat pada suku tahun ini didorong oleh permintaan domestik yang membawa kepada peningkatan ketara dalam aktiviti pengeluaran.
Menurut Mohd Uzir, pengiraan anggaran KDNK awalan adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia.
"Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK sebenar disebabkan ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan," katanya.
Untuk maklumat lanjut katanya, sila rujuk FAQ berkaitan anggaran KDNK awalan di portal DOSM. Analisis terperinci dan komprehensif mengenai ekonomi Malaysia bagi suku tahun ketiga 2023 akan dikeluarkan pada 17 November 2023. - DagangNews.com