DPIA lancar Sukses Sifu, perkasa usahawan tempatan | DagangNews Skip to main content

DPIA lancar Sukses Sifu, perkasa usahawan tempatan

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) julung kali melancarkan Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 dengan menampilkan 31 usahawan terkemuka menerusi siaran langsung di laman media sosial bermula 31 Ogos sehingga 4 September.

Antara usahawan yang ditampilkan adalah Presiden DPIA, Datuk Moehamad Izat Emir, Presiden Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamad Fauzy Abdul Hamid dan Pengasas Malakat Mall serta Brainy Bunch, Fadzil Hashim.

Timbalan Presiden 1 DPIA  merangkap pengarah program, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kejayaan dan latar belakang usawahan mampu menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk semua generasi dalam menceburi bidang keusahawanan. 

“Selebriti yang berjaya dan menjadi idola seperti Pengarah Suhan Movies & Trading serta pemilik ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Noor, Presiden KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim, pemilik syarikat rakaman Mixology Music serta penyanyi, Dj Fuzz dan ramai lagi turut akan berkongsi tips kejayaan mereka.

 

Datuk Sohaimi Shahadan
Sohaimi Shahadan

 

"Ilmu dan rahsia pencapaian yang didedahkan itu boleh dijadikan panduan bagi mereka yang sedang tercari-cari haluan kerjaya untuk masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Seramai 10,000 penonton dijangka turut serta siaran langsung konvensyen itu menerusi Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter selain portal Malaysia Post dengan menggunakan nama suksessifu2020.

Tambah beliau,  kehidupan normal baharu, situasi sosial dan ekonomi global yang tidak menentu, menyaksikan semakin banyak program dilaksanakan melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube.

“Impak dan peranan media sosial dalam kehidupan seharian kita kini semakin hebat. Jadi, kami mengambil peluang untuk menggunakan ruang tersebut bagi menyiarkan program Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020,” jelasnya.

Mereka yang berminat  boleh membuat pendaftaran di pautan https://suksessifu.com/register/ untuk tontonan secara percuma bermula pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Merdeka. - DagangNews.com