DRB-Hicom, Geely bekerjasama tarik pelabur ke Automotive High Tech Valley | DagangNews Skip to main content

DRB-Hicom, Geely bekerjasama tarik pelabur ke Automotive High Tech Valley

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Berikutan pemeteraian Perjanjian Utama (HOA) pada 1 April antara DRB-Hicom dan Geely di Beijing untuk membangunkan Automotive High Tech Valley (AHTV), kedua-dua pihak mengambil lagi satu langkah ke arah memenuhi komitmen mereka untuk membina hab masa depan Malaysia untuk Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) di Tanjung Malim.

 

Konvensyen Pelabur & Vendor Global 2023 anjuran Proton, yang diadakan hari ini di sini berjaya menarik lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan, wakil pengurusan DRB-Hicom, Geely dan Proton serta vendor tempatan dan akhirnya vendor luar negara yang diwakili oleh 42 pembekal automotif dari China. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Syed Faisal Albar berkata, konvensyen tersebut adalah salah satu usaha pihaknya dan Geely untuk menarik pelaburan luar negara ke AHTV dan negara, dan bersama-sama menyasarkan untuk menarik kira-kira RM32 bilion pelaburan bagi projek ini, termasuk apa yang telah diperuntukkan oleh Proton. 

 

"Apabila peralihan kepada Kenderaan Tenaga Baharu semakin pantas, AHTV akan menerima perubahan landskap automotif dengan menawarkan ekosistem bersepadu yang akan membantu sektor automotif Malaysia selaras dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, yang akan memastikan negara terus bersemangat seperti negara- negara jirannya.

 

"Pada masa yang sama, usaha gabungan kami serta minat kuat yang ditunjukkan oleh vendor dari China akan membantu menarik sokongan kerajaan China, yang boleh membawa kepada lebih banyak pelaburan bagi AHTV dan Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Proton berkata, kerjasama Geely dengan Proton dan sokongan mereka terhadap projek ini telah menyebabkan beberapa pelabur dan pembekal komponen beroperasi di Tanjung Malim, dan ekosistem berteknologi tinggi mereka yang sedia ada pasti akan memainkan peranan utama dalam membawa projek ini ke hadapan.

 

Setelah mengendalikan kilang pengeluarannya di Tanjung Malim selama 20 tahun, pengeluar kereta nasional Proton berpeluang mendapat manfaat daripada pembangunan hab automotif itu dengan memanfaatkan kehadiran pembekal teknologi tinggi di AHTV. 

 

 

proton

 

 

Syarikat juga akan membawa faedah tambahan kepada kawasan sekitarnya apabila ia memindahkan sepenuhnya kemudahan pembuatan dan penyelidikan dan reka bentuknya di sana menjelang tahun 2026. - DagangNews.com