Dua pengurus bank, kontraktor antara 10 didakwa berkait kes curi RM24.2 juta akaun pelanggan MBSB | DagangNews Skip to main content

Dua pengurus bank, kontraktor antara 10 didakwa berkait kes curi RM24.2 juta akaun pelanggan MBSB

KUALA LUMPUR 25 Julai - Dua pengurus cawangan bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini rentetan daripada kes kecurian wang lebih RM24 juta daripada pelanggan bank MBSB.

 

Kedua-dua pengurus bank itu bersama lapan lagi individu termasuk seorang kontraktor dan guru didakwa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang melakukan kesalahan berat bagi mendapatkan faedah material diketuai oleh seorang kontraktor. 

 

Memetik laporan Borneo Post, 10 individu itu ialah kontraktor, Josepin J Langkan, 38; pengurus bank Irene Chin Nyuk Thien, 38; pengurus bank Christina @ Caroline Pianus Etip, 53; guru, Subramaniam Thangavelu, 56 dan Sugumaran K Ponniah, 56 – bekerja sendiri.

 

Turut didakwa, pesara, Nasir Abdul Rasid, 60; ; Vireonis Jonok, 35 - penganggur; pesara Leong Hin Ping, 62; nelayan Hasran Magin, 46; dan Mazlani Jenuary, 53 - penganggur yang keseluruhannya terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita.

 

Borneo Post melaporkan mereka didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.

 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

 

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua 10 tertuduh.

 

Mereka didakwa ahli kumpulan jenayah terancang, yang didakwa diketuai oleh Josepin, yang melakukan kesalahan serius untuk mendapat faedah material.

 

Kesalahan yang didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Kota Kinabalu antara 26 April dan 10 Julai.

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] MBSB Bank pulangkan RM24.2 juta yang dicuri dari akaun simpanan tetap pelanggan

 

Mahkamah menetapkan 13 September untuk sebutan lanjut kes dan kesemua 10 tertuduh tidak diikat jamin.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff.

 

Subramaniam diwakili peguam Datuk Ram Singh; Josepin dan Vireonis diwakili peguam Hairul V Othman dan Luke Ressa Balang; Sugumaran, Nasir, dan Leong dibela oleh peguam Dominic Chew dan Ariel Dasan; Irene diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman dan Luqman Syazwan Zabidi; Christina diwakili oleh peguam Arthur Borine; Mazlani diwakili peguam Datuk Marzuki Spawi; manakala Hasran tidak diwakili peguam bela.

 

Awal bulan lepas, dana berjumlah lebih RM24.2 juta telah disalurkan daripada beberapa akaun simpanan tetap MBSB Bank Berhad.

 

Pada Selasa, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata 10 suspek, yang ditahan sebelum ini di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, akan didakwa selepas siasatan polis menemui unsur dan bukti jenayah terancang dalam kes tersebut.

 

“Ini adalah kali pertama tindakan mahkamah diambil di bawah peruntukan Sosma bagi kesalahan melibatkan jenayah komersial.

 

“Pada 22 Julai lalu, Timbalan Pendakwa Raya telah memberi arahan untuk mendakwa sembilan suspek mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan seorang di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

 

Tambah Ramli, sindiket itu mula merancang ‘rompakan’ itu sejak akhir tahun lalu dan mula mengaktifkan rancangan mereka dari Mac hingga Jun.

 

“Sindiket itu telah merancang dan menjalankan aktiviti menyedut wang daripada akaun simpanan tetap, termasuk menggunakan MyKad palsu untuk menjalankan transaksi dan memanipulasi pengimbas cap jari yang digunakan oleh bank untuk tujuan pengesahan,” katanya.

 

Bulan lalu, polis menahan seorang pekerja bank yang disyaki terlibat dalam penipuan pengeluaran simpanan tetap berjumlah RM24.2 juta daripada empat akaun dan suspek kemudiannya dikenali sebagai wanita berusia 38 tahun.

 

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima empat laporan daripada pemegang akaun dan kakitangan bank awal bulan lalu di Petaling Jaya, Selangor, apabila mangsa menyedari pengeluaran wang tunai yang mencurigakan dibuat di Kota Kinabalu membabitkan akaun simpanan tetap mereka.

 

Beliau berkata kesemua pemegang akaun terbabit menafikan sebarang pengetahuan mengenai transaksi itu dan berkata mereka tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran.

 

Polis kemudian menahan 14 suspek termasuk pegawai bank dan seorang ahli perniagaan ‘Datuk’ selepas melakukan serbuan di Perlis dan Sabah. - DagangNews.com