Dua pusat perubatan RSDH raih anugerah berprestij di Healthcare Asia Awards 2023 | DagangNews Skip to main content

Dua pusat perubatan RSDH raih anugerah berprestij di Healthcare Asia Awards 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 April - Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) telah meraih dua anugerah berprestij di Healthcare Asia Awards 2023 sebagai pengiktirafan di atas sumbangan mereka kepada penjagaan pesakit dan khidmat masyarakat.

 

Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC) mencipta sejarah bagi usaha pemvaksinan COVID-19 untuk orang kelainan upaya (OKU), manakala Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC) dinamakan Hospital Komuniti Paling Baik Tahun Ini kerana menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit dan komunitinya.

 

Healthcare Asia Awards mengiktiraf penyedia penjagaan kesihatan berinovasi dan mencipta semula inisiatif untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan melindungi pekerja mereka di tengah-tengah cabaran besar akibat pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Peter Hong berkata pihaknya berterima kasih ADMC dan BTMC diiktiraf anugerah tersebut.

 

“Anugerah ini mencerminkan dedikasi yang tidak berbelah bagi pasukan kami dan akan terus berusaha untuk kecemerlangan dalam semua usaha," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

ADMC telah mengatasi halangan dengan inisiatif vaksinansi pandu lalu yang telah berjaya mencapai 13,500 OKU dan penjaga mereka justeru diiktiraf dengan anugerah ‘Sumbangan Vaksin Cemerlang untuk OKU’ dalam kategori Perkongsian Awam-Swasta.

 

 

(Dari kiri) Miranda Harumal dan Jasmine Lau
(Dari kiri) Miranda Harumal dan Jasmine Lau

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif ADMC, Miranda Harumal berkata, “Program vaksinasi pandu lalu perintis kami komited menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada semua pesakit dan kejayaan adalah bukti dedikasi terhadap inovasi dan penjagaan komprehensif.

 

Sementara itu, BTMC diiktiraf di atas keutamaan yang diberikan terhadap penjagaan kesihatan komuniti, menawarkan pelbagai kepakaran dan akreditasi MSQH untuk menjamin penjagaan dan keselamatan terbaik pesakit.

 

Dedikasinya terhadap penambahbaikan berterusan membezakannya sebagai peneraju dalam industri, di mana ketika pandemik COVID-19, BTMC telah memulakan beberapa inisiatif walaupun menghadapi cabaran seperti bank makanan, program komuniti sihat, menyediakan pembedahan katarak percuma dan kem perubatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BTMC, Jasmine Lau berkata, “kami memahami cabaran pandemik COVID-19 namun tetap teguh dalam komitmen menyediakan penjagaan luar biasa dan menyokong komuniti melalui pelbagai inisiatif.” -DagangNews.com