Duopharma beri komitmen untuk pelbagaikan portfolio termasuk farmaseutikal halal dan produk berasaskan tumbuhan | DagangNews Skip to main content

Duopharma beri komitmen untuk pelbagaikan portfolio termasuk farmaseutikal halal dan produk berasaskan tumbuhan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Duopharma Biotech Berhad mengesahkan komitmennya untuk mengembangkan kepelbagaian portfolionya, termasuk farmaseutikal halal dan produk berasaskan tumbuhan, serta mengembangkan ketersediaan dan kemampuan produknya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, Duopharma menjalankan peranannya untuk menyokong matlamat kerajaan dengan menjadikan produknya tersedia dan mampu dimiliki oleh semua selain terus mengembangkan portfolio produknya bagi memenuhi keperluan pengguna.

 

Ia termasuk meneruskan kerjasama bagi mengembangkan tawaran dalam perubatan pencegahan dan pengesanan awal.

 

"Mengenai prospek perniagaan Duopharma Biotech, kami amat digalakkan oleh hala tuju pembaharuan penjagaan kesihatan yang diambil dalam Bajet 2023 yang merangkumi rekod peningkatan 12% daripada Bajet 2022 dalam peruntukan penjagaan kesihatan berjumlah RM36.3 bilion untuk pembelian produk farmaseutikal dan bahan habis guna perubatan, dan meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengerusinya, Tan Sri Siti Sa'diah Sheikh Bakir berkata, pada 2022 kumpulan itu terus mencipta nilai dengan menawarkan akses kepada rawatan yang berkesan dan berpatutan untuk semua pengguna.

 

Kumpulan itu juga meneruskan usahanya untuk memenuhi keperluan yang disasarkan dalam kalangan pesakit dan pengguna, seperti farmaseutikal halal dan produk berasaskan tumbuhan.

 

“Pencapaian kami amat membanggakan, seperti menerima pensijilan halal pertama di dunia untuk ubat kanser yang dianugerahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

"Pada masa yang sama, mengikut piawaian industri global, kami komited untuk menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi perniagaan dan kami berbesar hati dengan pengiktirafan industri atas usaha kami," katanya.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23), untung bersih kumpulan meningkat 11.54% kepada RM22.63 juta daripada RM20.29 juta setahun sebelumnya, didorong oleh hasil yang lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan jualan kepada pasaran farmaseutikal preskripsi.

 

Pendapatan syarikat itu meningkat 7.82% kepada RM200.48 juta daripada RM185.94 juta tahun lepas. - DagangNews.com