Duopharma diunjur catat pertumbuhan stabil pada 2024 selepas kontrak APPL dimuktamadkan | DagangNews Skip to main content

Duopharma diunjur catat pertumbuhan stabil pada 2024 selepas kontrak APPL dimuktamadkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Duopharma Biotech Bhd diunjur mencatatkan pertumbuhan hasil yang stabil pada tahun ini selepas kontrak senarai pembelian produk (APPL) dimuktamadkan menjelang akhir Mac atau April 2024 manakala segmen penjagaan kesihatan penggunanya (CHC) diunjur pulih secara beransur-ansur.

 

RHB Investment positif dengan perkembangan itu kerana kontrak pembekalan ubat sudah dipenuhi atas dasar peralihan (berdasarkan syarat 2017 ketika kadar dolar Ameika Syarikat (AS)/Ringgit Malaysia 4.20) kerana syarat kontrak tidak menggambarkan kadar tukaran asing terkini.

 

Firma penyelidikan itu positif dengan jualan kumpulan itu selepas kontrak APPL dimuktamadkan kerana pertumbuhan segmen itu dijangka disokong oleh peruntukan belanjawan yang lebih tinggi pada 2024 (RM5.5 bilion berbanding RM4.9 bilion pada 2023).

 

Katanya, prospek jangka sederhana dan panjang kumpulan itu kekal terguh disokong peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan trend masyarakat yang semakin tua.

 

"Berdasarkan tinajuan bersama farmasi tempatan, jualan CHC pada Januari dan Februari 2024 sangat menggalakkan. 

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berhasrat mengembangkan rangkaian produk CHC mereka bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap jualan produk vitamin C," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, susut kepada RM8.5 juta berbanding RM17.16 juta pada suku yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM167.50 juta daripada RM151.96 juta.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, untung bersihnya susut kepada RM52.65 juta daripada RM70.11 juta setahun sebelumnya, manakala hasil lebih tinggi pada RM704.73 juta daripada RM696.72 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.

 

RHB Investment menyukai kumpulan itu berdasarkan margin yang lebih baik berbanding pesaingnya selain peruntukan kerajaan yang lebih tinggi untuk sektor penjagaan kesihatan dan trend masyarakat yang semakin tua.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.41 sesaham," katanya. - DagangNews.com