Duopharma pengedar eksklusif peranti perubatan Owen Mumford di Malaysia, Singapura dan Brunei | DagangNews Skip to main content

Duopharma pengedar eksklusif peranti perubatan Owen Mumford di Malaysia, Singapura dan Brunei

(Dari kiri) Pengarah Urusan Serantau Owen Mumford Malaysia, Shirley Loh Phoi Theng; Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry; Pengarah Owen Mumford Ltd, Adam Mumford; Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid dalam majlis pemeteraian perjanjian pengedaran eksklusif pada 28 Februari 2024.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac - Duopharma Biotech Berhad menerusi anak syarikatnya, Duopharma Marketing Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar eksklusif peranti perubatan Owen Mumford di Malaysia, Singapura dan Brunei.

 

Syarikat penjagaan kesihatan Malaysia itu telah menandatangani perjanjian pengedaran eksklusif dengan anak syarikat Owen Mumford, Owen Mumford Sdn Bhd dan sebagai permulaan, ia akan mula mengedarkan rangkaian produk penjagaan diabetes dan penjagaan mata.

 

Produk tersebut terdiri daripada jarum pen insulin Unifine® Pentips ® dan Unifine® Pentips® Plus; lanset Unistik® 3 dan Unilet® Excelite; serta peranti ubat titis mata Autodrop®, yang akan diedar kepada kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta, kemudahan penjagaan pesakit lain dan kedai jualan runcit, dengan potensi untuk mengembangkan lagi rangkaian produk yang diedarnya. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, inovasi rangkaian produk Owen Mumford amat bersesuaian dengan tawaran produk kumpulan.

 

“Kami percaya bahawa akses meluas kepada peranti perubatan yang berkualiti dapat meningkatkan pematuhan pesakit kepada langkah penjagaan lazim seperti ujian gula dalam darah dan suntikan insulin dalam kalangan pesakit diabetes, justeru membuahkan hasil penjagaan kesihatan lebih baik dalam jangka panjang. 

 

“Dengan adanya pilihan yang lebih banyak untuk pesakit, ia dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk mendapatkan penjagaan paling sesuai dengan keperluan mereka,” ujar beliau selepas memeterai perjanjian tersebut.

 

Duopharma berkata, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia telah meningkat dari 11.2% bagi 2011 kepada 18.3% pada 2019, di mana lebih 7 juta warga Malaysia dewasa dijangka menghidap penyakit itu menjelang 2025 dengan kadar prevalens 31.3%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, yang turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kedua-dua syarikat itu berkata, kerjasama Duopharma dan Owen Mumford menyepadukan dua sektor penting dalam penjagaan kesihatan, iaitu farmaseutikal dan peranti perubatan. 

 

“Sektor peranti perubatan diberi keutamaan dalam Misi 1 Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dengan wawasan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah hab pembuatan yang didorong oleh inovasi.

 

“Ini menekankan pembinaan kapasiti dalam industri peranti perubatan dan farmaseutikal, dengan memanfaatkan inovasi serta bakat berkemahiran tinggi untuk memacu agenda ekonomi yang kompleks,” tambahnya.

 

Owen Mumford, yang ditubuhkan pada 1952 di United Kingdom, telah memulakan operasinya di Malaysia pada 2015 dengan pelaburan hampir RM100 juta ke dalam kemudahan pembuatan, operasi dan program di negara ini.

 

Owen Mumford mempunyai portfolio produk yang meluas merangkumi penjagaan diabetes, pengumpulan darah dan spesimen pesakit, ujian titik penjagaan, penyaringan neuropati, penjagaan oftalmologi dan penjagaan kesihatan seksual. - DagangNews.com