KUALA LUMPUR 27 Nov - Duopharma Biotech Berhad bekerjasama dengan RenalWorks Malaysia Sdn Bhd bagi meningkatkan perkhidmatan dialisis menerusi penyediaan perisian inovatif, rekod kesihatan elektronik (EHR) RenalGenie.
Perisian itu diperkenalkan secara rasmi kepada penyedia penjagaan kesihatan berikutan pemeteraian perjanjian antara anak syarikat Duopharma, Duopharma (M) Sendirian Berhad dan anak syarikat RenalWorks Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, RenalWorks Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini.
Di bawah perjanjian tersebut, Duopharma akan menjadi rakan kongsi jualan dan pemasaran eksklusif untuk perisian dialisis EHR RenalGenie di Malaysia, dengan potensi pengembangan ke pasaran ASEAN lain pada masa hadapan.
Melalui pangkalan data yang menyeluruh dan berpusat merekodkan data kesihatan pesakit yang terkini, penyedia penjagaan kesihatan diperkasakan dengan membuat keputusan termaklum, di samping pengurusan kemudahan yang optimum dan koordinasi penjagaan serta antara muka yang mesra pengguna.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata walaupun penting bagi Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan lain untuk berusaha mencegah penyakit, adalah penting juga untuk mengambil langkah jangka panjang bagi meningkatkan hasil penjagaan kesihatan dengan menambah baik rawatan untuk pesakit sedia ada.
“Dari segi dialisis, Malaysia malangnya melihat peningkatan pesakit buah pinggang dan kegagalan buah pinggang pada tahun-tahun akan datang, justeru adalah penting untuk meletakkan asas sekarang dalam sistem penjagaan kesihatan untuk menyokong keperluan masa depan ini.
“Di samping itu, pelaksanaan perisian dialisis EHR RenalGenie juga selaras dengan usaha nasional untuk mengembangkan pendigitalan bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan seterusnya, meningkatkan hasil,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pembangunan perisian tersebut, Pengasas dan Pengarah Urusan RenalWorks Pte Ltd, Chan Wai Chuen berkata dengan RenalGenie, kemudahan penjagaan kesihatan boleh mengurangkan kos operasi dengan ketara dengan memperkemas proses aliran kerja dan meningkatkan hasil dengan menggunakan algoritma pengebilan automatik proprietari dan penjadualan bagi untuk mengoptimumkan penggunaan kapasiti kemudahan.
“Ini menandakan peristiwa penting dalam misi RenalWorks untuk mendemokrasikan perisian dialisis EHR bagi mengatasi jurang teknologi antara pusat dialisis di negara maju dan berpendapatan sederhana.
“Matlamat ini direalisasikan dengan menghapuskan perbelanjaan berkaitan lesen perisian, perolehan perkakasan, pemasangan dan penyepaduan kompleks tipikal perisian EHR semasa,” katanya. - DagangNews.com