KUALA LUMPUR 6 Jun - Syarikat farmaseutikal Duopharma Biotech Bhd menyasarkan peningkatan hasil sehingga 10% dalam tempoh dua tahun daripada kontrak Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) dengan Pharmaniaga Bhd.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, selain kontrak itu, syarikat masih menunggu pengesahan mengenai beberapa kontrak APPL lain yang sedang dalam rundingan.
Pengumuman lanjut mengenai kontrak ini akan dibuat dalam masa terdekat, tambahnya.
"APPL tidak diberikan pada satu ketika, kerana ia menentukan harga dalam proses yang kompetitif. Pengumuman lanjut akan dibuat.
"Saya menjangkakan (kontrak) APPL baharu akan menyumbang secara positif kepada hasil (tahunan) kumpulan,” katanyapada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Duopharma dapat kontrak bekalan perubatan daripada Pharmaniaga Logistics bernilai RM578 juta
Kontrak yang diperoleh Duopharma daripada Pharmaniaga pada April 2024, bernilai RM578.09 juta, melibatkan pembekalan 86 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal.
Leonard berkata, rangkaian produk berkemungkinan melebihi 50 unit penyimpanan stok (SKU) semasa.
Katanya, kontrak itu adalah berdasarkan kadar pertukaran RM4.70 berbanding dolar AS, berbanding julat RM4.20-RM4.25 berbanding dolar AS pada 2017.
Sebelum ini, Duopharma telah menerima pelbagai sambungan kontrak APPL yang diperoleh daripada Pharmaniaga pada 2017 bagi membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan.
Kontrak itu pada mulanya meliputi tempoh tiga tahun dari 1 Disember 2017, hingga 30 November 2019, dan kemudiannya dilanjutkan empat kali, akhirnya berlanjutan sehingga 31 Disember 2023.- DagangNews.com