Duopharma terima lanjutan kontrak selama enam bulan bagi membekalkan produk kepada hospital, klinik kerajaan | DagangNews Skip to main content

Duopharma terima lanjutan kontrak selama enam bulan bagi membekalkan produk kepada hospital, klinik kerajaan

KUALA LUMPUR 24 Okt - Duopharma Biotech Bhd berjaya memperoleh lanjutan kontrak selama enam bulan lagi untuk senarai pembelian produk baharu yang diluluskan (APPL) bagi membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan.

 

Duopharma (M) Sdn Bhd milik penuh kumpulan itu menerima surat lanjutan daripada Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB). PLSB ialah anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad, yang berada di bawah status Nota Amalan 17 (PN17).

 

"Tempoh kontrak perjanjian untuk pembekalan produk yang disenaraikan dalam surat itu telah dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember 2023 atau tarikh lain seperti yang diarahkan oleh kerajaan, yang mungkin lebih awal atau lewat,” kata Duopharma, lapor The Edge, hari ini.

 

Kontrak APPL, yang tamat pada Jun lalu, telah dilanjutkan selama enam bulan mulai 1 Julai 2023.

 

Pada 2017, Pharmaniaga telah menganugerahkan kontrak APPL kepada Duopharma, untuk membekalkan produk farmaseutikal atau bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan.

 

Kontrak itu pada mulanya adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Disember 2017 hingga 30 November 2019, sebelum dilanjutkan tiga kali hingga 30 Jun 2023. Kontrak itu menyumbang kira-kira 20% daripada hasil tahunan Duopharma.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, keuntungan bersih Duopharma susut 23.11% kepada RM12.54 juta daripada RM16.31 juta, apabila hasil suku tahunan turun kepada RM167.52 juta daripada RM181.74 juta. - DagangNews.com