DXN catat untung bersih RM76 juta pada 2QFY24, isytihar dividen 0.9 sen | DagangNews Skip to main content

DXN catat untung bersih RM76 juta pada 2QFY24, isytihar dividen 0.9 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Keuntungan bersih DXN Holdings Bhd bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024  (2QFY24) meningkat sedikit 0.3% kepada RM76 juta daripada RM75.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan meningkat 15.7% kepada RM458 juta berbanding RM396 juta tahun lalu, terutamanya disebabkan pertumbuhan jualan berterusan di Amerika Latin, India dan Timur Tengah.

 

DXN mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.9 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2024 (FY24), yang akan dibayar pada 30 November 2023.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih kumpulan pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) meningkat 0.4% kepada RM153.6 juta daripada RM152.95 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan DXN dalam 1HFY24 turut melonjak 16.6% kepada RM882 juta daripada RM756.6 juta sebelumnya.

 

Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata kumpulan itu komited menggunakan dasar dividen sekurang-kurangnya 50% daripada PATAMI, di mana sebelum ini nisbah pembayan dividen adalah dari 30% kepada 50%.

 

 

Datuk Lim Siow Jin
Datuk Lim Siow Jin

 

 

“Setakat ini, jumlah pembayaran dan pengisytiharan dividen untuk FY24 ialah RM104.7 juta, yang bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 68.2% daripada PATAMI.

 

"Perubahan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap kekuatan kewangan DXN dan peluang di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. - DagangNews.com