DXN mengukuhkan kedudukan di Amerika Latin, bakal masuk pasaran Brazil | DagangNews Skip to main content

DXN mengukuhkan kedudukan di Amerika Latin, bakal masuk pasaran Brazil

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Feb - DXN Holdings Bhd bakal memasuki pasaran Brazil tidak lama lagi dengan pejabat jualan pertama akan dibuka di Sao Paulo.

 

Menurut pengeluar produk kesihatan dan kesejahteraan itu, pejabat di salah sebuah bandar raya utama di Brazil itu akan mula beroperasi pada Mac, 2024.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, pihaknya cukup optimistik dengan prospek pasaran Brazil yang mempunyai penduduk melebihi 210 juta orang.

 

Beliau berkata, selain itu, Brazil juga mempunyai kelompok penduduk bandar yang semakin meningkat dan ini mencerminkan peluang perniagaan kepada syarikat seperti DXN.

 

"Kemasukan kami ke pasaran Brazil adalah secara strategik yang menyasarkan untuk mengukuhkan jenama DXN setelah kejayaan di negara Amerika Latin lain termasuk Peru, Bolivia dan Colombia.

 

"Strategi pemasaran DXN, "Satu Dunia Satu Pasaran' juga membolehkan mana-mana ahli global kami mengembangkan perniagaan di mana DXN beroperasi tanpa halangan geografi. Kami sangat yakin potensi perkembangan ahli kami di Brazil," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

dxn

 

Menurut Siow Jin, DXN setakat ini telah berjaya mendapat kelulusan pendaftaran untuk 10 jenis produk di Brazil.

 

Katanya, produk kopi segera yang menjadi kebanggaan DXN sejajar dengan tradisi kopi di Brazil sekali gus meningkatkan keyakinan untuk diterima dalam pasaran negara itu.

 

“Tambahan pula, minat terhadap suplemen kesihatan yang meningkatkan kesejahteraan semakin meningkat di seluruh dunia.

 

"Tawaran DXN, termasuk produk yang dirumus dengan herba dan tumbuhan ubatan seperti spirulina dan cendawan surai singa, berada pada kedudukan yang baik dalam pasaran yang semakin berkembang ini. 

 

"Sektor suplemen kesihatan yang terus berkembang mewujudkan peluang besar kepada DXN mempercepatkan usaha pengembangan global bagi memanfaatkan pasaran yang semakin meningkat ini,” jelasnya.

 

Untuk menyokong pertumbuhan DXN di rantau Amerika Latin, kemudahan pengeluaran kedua Kumpulan di Mexico kini beroperasi dengan saiz 2.8 kali ganda daripada yang pertama dan terlibat dalam pembuatan produk kopi, suplemen dan minuman.

 

Sejak mula menembusi Amerika Latin pada tahun 2004, DXN telah mengukuhkan rangkaiannya di rantau itu kepada 3.6 juta ahli. 

 

Sementara itu, jualan dari rantau ini telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan hasil DXN, mencakupi 60% daripada jumlah hasil dalam tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 November 2023 dan kehadiran DXN ke dalam pasaran Brazil dijangka meningkatkan lagi pertumbuhan trajektori ini.- DagangNews.com