E-Invois dijangka jejaskan jualan kereta, tiada lagi ruang 'pinjaman penuh' - TA Securities | DagangNews Skip to main content

E-Invois dijangka jejaskan jualan kereta, tiada lagi ruang 'pinjaman penuh' - TA Securities

Pelaksanaan e-Invois menutup ruang pinaman penuh pembiayaan kenderaan yang jadi amalan di Malaysia. Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Julai - Jualan kereta di Malaysia mungkin terjejas oleh pelaksanaan e-Invois yang bakal berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024. 

 

Menurut TA Securites, ini berikutan pembeli mungkin menghadapi kesulitan untuk mendapatkan "pinjaman penuh" dari ejen jualan yang sebelum ini menaikkan nilai invois dengan caj tambahan.

 

"Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), E-Invois merupakan versi digital bagi transaksi antara pembekal dan pembeli yang menggantikan dokumen tradisional seperti invois, nota kredit, dan nota debit. 

 

"Semua invois akan dihantar terus kepada LHDN melalui portal e-Invois, menyebabkan ejen jualan tidak lagi mudah untuk menaikkan invois dengan angka yang tidak sepadan di seluruh dokumen," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelaksanaan e-Invois bakal tamatkan amalan salah pinjaman kereta 100% - AmInvestment

 

TA Securities berkata, kaedah e-Invois akan bermula dengan mewajibkan pengguna dengan pendapatan tahunan melebihi RM100 juta pada 1 Ogos 2024, dan akan meluas kepada mereka dengan pendapatan antara RM25 juta dan RM100 juta pada 1 Januari 2025. 

 

"Semua pembayar cukai dijangka wajib menggunakan e-Invois menjelang 1 Julai 2025," jelas firma penyelidikan itu.

 

TA Securities berkata, penganalisis kewangan mengekalkan pandangan 'Neutral' mereka terhadap sektor automotif. 

 

"Walaupun pelbagai model baru diperkenalkan, jangkaan jualan kereta pada tahun 2024 mungkin turut terjejas oleh sentimen pengguna yang menurun sejajar dengan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.

 

"Ramalan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) untuk tahun 2024 dijangka kekal pada 700,000 unit, menunjukkan penurunan sebanyak 12.5% berbanding tahun sebelumnya," ujarnya. - DagangNews.com