East Coast Fertilizer Sdn Bhd bina kilang baja pertama di Terengganu bernilai RM40 juta | DagangNews Skip to main content

East Coast Fertilizer Sdn Bhd bina kilang baja pertama di Terengganu bernilai RM40 juta

Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menyaksikan acara pecah tanah kilang baja berteknologi moden di Kemaman berharga RM40 juta pada 21 Mei 2023. - Gambar DagangNews
oleh HUSNA ABDULLAH

KEMAMAN 22 Mei - East Coast Fertilizer Sdn Bhd (ECFSB), anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah kilang baja berteknologi moden di Kemaman pada awal tahun depan.

 

Ia adalah kilang baja pertama di Terengganu dengan anggaran kos pembinaan mencecah RM40 juta dan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan. 

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, projek tersebut akan memberikan peluang untuk Terengganu meningkatkan keupayaan dalam mengaplikasikan pertanian yang lebih bijak dan menyediakan baja yang lebih sesuai untuk keadaan tanah di Terengganu dan Wilayah Pantai Timur.


 

Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil
                    Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil

 


Beliau berkata, penubuhan ECFSB menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat terutamanya pengusaha ladang, pekebun dan petani. 

 

Menurutnya, komitmen ini dicerminkan dalam misi dan objektif syarikat dengan membekalkan baja berkualiti tinggi dilengkapi komposisi nutrien yang seimbang dan komprehensif untuk menyumbang kepada peningkatan keseluruhan produktiviti tanaman dan kesejahteraan para petani khususnya di Terengganu. 

 

"Ia akan membantu golongan petani dan pengusaha di kawasan tersebut untuk meningkatkan hasil pertanian mereka dengan cara yang lebih berkesan sekaligus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

 

"Selain pengaplikasian pertanian yang jitu dan pengeluaran baja berkualiti serta bersesuaian dengan keperluan tanah, projek ECFSB ini juga bakal mewujudkan 250 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. 

 

"Kita juga berharap pembinaan kilang baja pertama ini mampu memberikan pengalaman teknik yang berharga, membuka lapangan kerja baharu serta ‘technical know-how’ untuk generasi muda di Terengganu," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan kilang baja ECFSB dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECFSB dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Teluk Kalong di sini, Ahad.  


 

parafrasa

 

parafrasa

 


Pada majlis tersebut, EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ridzuan Ali dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Muhtar Suhaili manakala ECFSB pula diwakili oleh Pengarahnya, Muhammad Ramizu Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaman Abdullah.

 

Memorandum yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak adalah berkaitan pajakan tanah untuk projek pembinaan sebuah kilang baja milik ECFSB di Teluk Kalong.

 

Kilang tersebut dianggarkan berkeluasan lebih 50,000 kaki per segi dengan kapasiti pengeluaran baja berjumlah 50,000 tan metrik bagi setiap tahun dan mampu mencapai kapasiti maksima pengeluaran baja berjumlah 100,000 tan metrik setahun.  

 

Sementara itu, Ridzuan berkata, lokasi pembinaan kilang tersebut sangat strategik, sekaligus membuka pintu kepada ECFSB untuk meneroka pasaran Pantai Timur dan seterusnya berkembang ke negara-negara jiran dan juga pasaran serantau pada masa akan datang.


 

Ridzuan Ali
                            Ridzuan Ali

 


"Lokasinya kurang dua kilometer dari Pelabuhan Kemaman akan memberi kelebihan kepada ECFSB bagi urusan logistik serta pengedaran kepada pengguna-pengguna kelak. 

 

"EPIC sangat komited bagi memberikan khidmat pengendalian kargo di Pelabuhan Kemaman, serta khidmat logistik yang lain mengikut keperluan ECFSB selaras hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab pertanian dan menjadi pembekal baja yang unggul di Wilayah Pantai Timur," katanya. - DagangNews.com