Eastern & Oriental catat untung bersih RM32.95 juta pada 1QFY24 didorong peningkatan pendapatan, untung forex | DagangNews Skip to main content

Eastern & Oriental catat untung bersih RM32.95 juta pada 1QFY24 didorong peningkatan pendapatan, untung forex

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Eastern & Oriental Bhd (E&O) mencatatkan keuntungan bersih RM32.95 juta dalam suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM1.65 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan pendapatan dan keuntungan pertukaran mata wang asing (forex) tidak direalisasi sebanyak RM25.7 juta.

 

Pendapatan E&O dalam suku berakhir 30 Jun 2023 itu telah meningkat 11.5% kepada RM85.4 juta daripada RM76.6 juta tahun lalu, dipacu pendapatan segmen hartanah dan hospitaliti masing-masing berjumlah RM60.9 juta dan RM23.4 juta.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan tersebut menjelaskan bahawa pendapatan segmen hartanah meningkat 6.2% disebabkan tebus guna tanah dan projek Arica@Andaman yang baharu dilancarkan.

 

Sementara itu, pendapatan segmen hospitaliti melonjak 27.2%, dipacu oleh kadar penghunian Eastern & Oriental Hotel Penang and E&O Residences Kuala Lumpur yang lebih tinggi berikutan kebanjiran pelancong domestik dan antarabangsa.

 

Mengulas mengenai keputusan itu, Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata kadar pengambilan kukuh yang ketara bagi dua hartanah kami baharu dilancarkan di Pulau Andaman, iaitu The Meg dan Arica mencerminkan rekod prestasi dan pengiktirafan pasarannya sebagai pemaju gaya hidup.

 

“Begitu juga, hotel kami di Malaysia dan London menyaksikan kadar penghunian yang lebih tinggi, ditambah pula dengan peningkatan permintaan bagi perkhidmatan jamuan kami untuk acara korporat dan swasta,” tambahnya.

 

 

Kok Tuck Cheong
Kok Tuck Cheong 

 

 

Melangkah ke hadapan, Tuck Cheong berkata kumpulan itu menjangkakan pasaran hartanah di Malaysia akan bertambah baik terutamanya untuk lokasi yang strategik.

 

Sementara itu, sektor pelancongan dijangka menyaksikan pemulihan yang stabil didorong oleh peningkatan permintaan untuk tempahan hotel.

 

“Oleh itu, kami optimistik dengan berhati-hati bahawa kami akan dapat melaksanakan rancangan dan strategi untuk meletakkan kumpulan ke tahap yang lebih tinggi.

 

“Pelancaran penawaran produk baharu kami sudah di dalam perancangan, dengan jangkaan dilancarkan pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24),” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham E&O didagang tidak berubah pada 41.5 sen dengan permodalan pasaran kumpulan bernilai RM646.3 juta.  - DagangNews.com