ECERDC bakal terima pelaburan RM200 juta daripada Synapse Network untuk bangunkan pusat data di PTP | DagangNews Skip to main content

ECERDC bakal terima pelaburan RM200 juta daripada Synapse Network untuk bangunkan pusat data di PTP

Benjamin Kong dan Datuk Baidzawi Che Mat memegang perjanjian pajakan tanah tersebut.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Synapse Network Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pajakan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk tanah seluas tiga hektar bagi membangunkan sebuah pusat data di Taman Teknologi Pahang (PTP).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, ECERDC memaklumkan Synapse Network akan melaburkan RM200 juta di PTP untuk pusat data yang memberi perkhidmatan di rantau ASEAN.

 

Synapse Network Sdn. Bhd. (SNSB) merupakan syarikat berdaftar Malaysia yang berpangkalan di Toronto, Kanada sebagai penyedia perkhidmatan pusat data inovatif untuk pasaran Amerika Utara dan infrastruktur IT kritikal bagi perniagaan global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata perjanjian pajakan tersebut penting kerana ia merupakan langkah pertama ke arah mewujudkan pusat data yang pertama di PTP.

 

“Keputusan Synapse Network mengembangkan operasi di PTP akan menjadi pemangkin dalam ekosistem digital ECER dan akan membuka pintu kepada pelabur digital lain untuk melabur di rantau ini,” katanya.

 

Pada Januari tahun ini, syarikat itu telah menandatangani surat tawaran menerima pajakan tanah tersebut semasa misi pelaburan ECERDC yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, Datuk Ragu Sampasivam ke ibu pejabat Synapse Network, Synapse Data Solutions Management di Toronto.

 

Presiden Synapse Network, Benjamin Kong berkata, pembangunan pusat datanya di PTP akan menyediakan pusat terpencar (decentralised centre) untuk teknologi digital dan web 3.0 (analitik data) bagi perkhidmatan kepada pelanggan antarabangsanya seperti Kumpulan Alibaba, Dell dan IBM.

 

“Kami telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak ECERDC bagi membincangkan tentang keperluan syarikat untuk melabur di ECER dan pihak ECERDC telah memudah cara semua permintaan,” tambah beliau.

 

PTP adalah pangkalan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), inisiatif strategik ECERDC dengan kerjasama TUM International GmbH (TUMInt), anak syarikat universiti terkemuka Jerman, Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich), untuk mempercepatkan penerimaan dan adaptasi Industrie 4.0 (I4.0), mewujudkan pekerjaan berkualiti dan peluang keusahawanan di ECER.

 

Mengulas lanjut, Ragu berkata, kemasukan Synapse Network ke PTP diharap akan menjadi pemangkin dan menarik lebih banyak industri digital ke ECER.

 

“Pelaburan daripada syarikat itu akan mewujudkan 50 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam industri pusat data dan ini adalah selaras dengan aspirasi dan usaha ECERDC untuk mendorong adaptasi I4.0 di Wilayah ECER dan negara,” katanya. -DagangNews.com