Eco World International kembali catat untung bersih RM302,000 pada 1QFY24 didorong keuntungan tukaran mata wang asing | DagangNews Skip to main content

Eco World International kembali catat untung bersih RM302,000 pada 1QFY24 didorong keuntungan tukaran mata wang asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Eco World International Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM302,000 pada suku pertama berakhir 31 Januari 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih sebanyak RM30.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong keuntungan tukaran mata wang asing.

 

Kumpulan itu meraih keuntungan tukaran asing sebanyak RM5.6 juta hasil daripada peningkatan pound sterling berbanding ringgit ke atas baki bank serta pembayaran balik pendahuluan pemegang saham daripada Eco World-Ballymore berbanding kerugian tukaran asing sebanyak RM25.97 juta pada tahun lalu.

 

Katanya, ia juga disokong kos kewangan yang lebih rendah sebanyak RM7.98 juta hasil daripada penyelesaian penuh semua pinjaman pada suku ketiga 2023.

 

"Embassy Gardens membawa hasil jualan sebanyak RM105 juta, merupakan penyumbang terbesar, diikuti Wardian (RM75 juta), dan Yarra One (RM20 juta).

 

"Berikutan pengagihan dividen RM144 juta pada suku pertama FY24, kumpulan masih mempunyai baki tunai bersih sebanyak RM211 juta pada 31 Januari 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World International, Datuk Teow Leong Seng berkata, data terkini menunjukkan bahawa harga rumah di London terus lemah.

 

Beliau berkata, ia berikutan cabaran berterusan daripada kos sara hidup dan kadar faedah yang tinggi membuatkan permintaan menurun daripada bakal pembeli.

 

"Oleh itu, semua pelancaran tapak sedia ada akan ditangguhkan sementara menunggu semakan kebolehlaksanaan memandangkan sentimen lemah yang berterusan dalam kalangan pembeli rumah dan inflasi kos yang ketara.

 

"Keputusan untuk meneruskan pelancaran baharu bergantung kepada peningkatan keadaan pasaran, penstabilan tekanan kos dan memenuhi jangkaan pulangan yang diperlukan," katanya. - DagangNews.com