Econframe ambil alih dua syarikat sebagai usaha kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Econframe ambil alih dua syarikat sebagai usaha kembangkan perniagaan

Pengarah Urusan Econframe, Lim Chin Horng (kiri) bersama Pengarah Urusan Lee & Yong Aluminium, Yong Kuen Hwan.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Pembekal penyelesaian sistem pintu menyeluruh untuk pembangunan hartanah, Econframe Berhad mengambil alih Lee & Yong Aluminium Sdn. Bhd and Trans United Sdn. Bhd sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan perniagaan.

 

Kumpulan itu merupakan pengeluar pintu logam dan bingkai tingkap terkemuka di Malaysia dan sejak disenaraikan di Pasaran ACE, keuntungan bersihnya melonjak kepada RM2.97 juta bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 (4QFY22) berbanding  RM50,000 pada 2021.

 

Pengarah Urusannya, Lim Chin Horng berkata, keuntungan itu didorong hasil yang lebih tinggi serta jumlah pesanan yang lebih besar yang dipenuhi, memandangkan bagi suku pertama 2023, keuntungan bersihnya berjumlah RM2.33 juta.


"Kami di Econframe gembira mengumumkan pengembangan penawaran produk dan kepelbagaian perniagaan kami melalui pemerolehan ini. 

 

"Menerusi pertumbuhan yang stabil dan pencapaian korporat yang konsisten sepanjang tahun, kami memutuskan untuk mengambil alih kepentingan kedua-dua syarikat itu.

 

"Pengembangan perniagaan kami ini didorong keyakinan terhadap prospek positif pasaran hartanah yang melonjak semula selepas COVID-19, dan untuk melengkapkan perniagaan teras kami yang sedia ada bagi menyediakan penyelesaian sehenti dan menyeluruh untuk rakan kongsi kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu mengambil alih 65% kepentingan ekuiti dalam Lee & Yong Aluminium yang terlibat dalam fabrikasi dan pemasangan kaca aluminium, produk kaca dan kerja fasad tingkap aluminium, pintu kaca dan banyak lagi, dan 100% kepentingan ekuiti dalam Trans United melibatkan tanah yang menempatkan kilang dan pejabat operasi Lee & Yong Aluminium.

 

"Kami mengambil alih Lee & Yong Aluminium dan anak syarikatnya kerana kedua-duanya mempunyai cabang perniagaan yang menjadi pelengkap kepada perniagaan kumpulan. 

 

"Pemerolehan ini akan membantu mengembangkan perniagaan kami untuk menyediakan kaca aluminium, produk kaca dan sistem fasad," kata Chin Horng. - DagangNews.com