Econframe kini pemilik ETA World selepas pengambilalihan 70% saham berharga RM56 juta | DagangNews Skip to main content

Econframe kini pemilik ETA World selepas pengambilalihan 70% saham berharga RM56 juta

Econframe merupakan pembekal penyelesaian sistem pintu menyeluruh untuk pembangunan hartanah.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - Pembekal penyelesaian sistem pintu menyeluruh untuk pembangunan hartanah, Econframe Berhad mengambil alih 70% kepentingan ekuiti dalam ETA World Sdn. Bhd. (ETA World) untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM56 juta.

 

Econframe Berhad berkata, pihaknya telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan ETA Industries Sdn Bhd bagi memperoleh 1.743  juta saham biasa dalam ETA World.

 

ETA World merupakan syarikat pembinaan hartanah industri seperti kilang dan gudang terkemuka di Malaysia dengan 15 tahun pengalaman.

 

Selain itu, ETA World merupakan kontraktor G7 berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang boleh terlibat dalam setiap projek tanpa tertakluk kepada had nilai.


 
Pengarah Urusan Econframe, Lim Chin Horng berkata, cadangan pengambilalihan ini membolehkan syarikat memanfaatkan kepakaran ETA World dalam pembinaan dan pembangunan hartanah perindustrian yang mempunyai prospek pasaran menggalakkan.

 

econframe
Pengarah Urusan Econframe, Lim Chin Horng

 

"Trend menggalakkan ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan pelbagai projek hasil daripada 1,500 pelaburan asing dan domestik yang diluluskan pada 2021 dan 2022 berjumlah RM279.36 bilion," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut Chin Hong, menerusi kepakaran ETA World yang disokong oleh rangkaian dan kekuatan kewangan Econframe, pihaknya yakin syarikat akan terus mencatatkan pengembangan perniagaan pada masa depan.

 

"Ini adalah pemerolehan terbesar sejak penyenaraian dan merupakan perkembangan positif untuk Econframe, yang akhirnya akan meningkatkan dan mempelbagaikan perniagaan Kumpulan. 

 

"Econframe pastinya mempunyai prospek cerah untuk mengekalkan momentum positif selepas mencatatkan prestasi terbaik pada 2023,” kata beliau.

 

Cadangan pengambilalihan datang dengan jaminan keuntungan oleh ETA Industries bahawa ETA World akan mencapai keuntungan teraudit selepas cukai tidak kurang daripada RM10 juta setiap tahun selama tiga tahun. - DagangNews.com