EcoWorld Malaysia cadang bangunkan perbandaran di Iskandar Puteri dengan GDV RM3.88 bilion | DagangNews Skip to main content

EcoWorld Malaysia cadang bangunkan perbandaran di Iskandar Puteri dengan GDV RM3.88 bilion

KUALA LUMPUR 18 Jan - Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) bercadang membeli 13 bidang tanah berjumlah 97.25 hektar di Iskandar Puteri, Johor bagi membangunkan perbandaran kediaman dan komersial bercampur dengan anggaran awal nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.88 bilion.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembangunan yang dicadangkan itu akan terdiri daripada produk mampu milik (kediaman tinggi dan kediaman bertanah) sesuai untuk pembeli rumah kali pertama dan kumpulan sasaran M40.

 

EcoWorld Malaysia berkata, anak syarikat milik penuh Eco Botanic 3 Sdn. Bhd. itu memeterai dua perjanjian bersyarat dengan Permodalan Darul Ta'zim Sdn. Bhd. (PDT) dan unit tidak langsung Iskandar Investment Berhad, River Retreat Sdn. Bhd. untuk membeli dan membangunkan tanah pegangan bebas itu.

 

Di bawah perjanjian pembangunan bersyarat dengan PDT, firma pelaburan yang dikawal kerajaan Johor telah bersetuju untuk mencalonkan Eco Botanic 3 untuk membeli tanah baharu daripada River Retreat dan Eco Botanic 3 bagi membangunkannya.

 

“Peranan PDT di bawah perjanjian pembangunan adalah untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada Eco Botanic 3 dan (untuk) menggunakan usaha terbaiknya untuk membantu pihak kedua dan memudahkan proses memohon dan mendapatkan kelulusan pembangunan yang diperlukan untuk pembangunan yang dicadangkan,” katanya.

 

Sementara itu, perjanjian jual beli dengan River Retreat adalah untuk pembelian tanah pegangan bebas pada harga RM450.13 juta.

 

“Cadangan pengambilan tanah berkenaan adalah pengambilan tanah kedua di Iskandar Malaysia oleh kumpulan itu dalam tempoh kurang daripada lima bulan. 

 

"Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan peneraju pasaran EcoWorld Malaysia di negeri itu, salah satu kawasan hartanah popular yang paling pesat berkembang di negara ini,” katanya.

 

EcoWorld Malaysia berkata, tanah baharu itu terletak bersebelahan dengan perbandaran matang kumpulan EcoWorld Eco Botanic dan Eco Botanic 2, ia membolehkan kumpulan itu menyumbang kepada momentum pertumbuhan kukuh Iskandar Malaysia.

 

“Tanah baharu itu juga sangat mudah diakses dan terletak di lokasi utama dalam kawasan tadahan yang menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat.

 

Cadangan tersebut tidak dijangka memberi kesan material serta-merta terhadap aset bersih dan tahap kadar hutang EcoWorld untuk tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2024 kerana cadangan pengambilan tanah hanya dijangka selesai pada penghujung tahun 2024.

 

“Bagaimanapun, cadangan pengambilan tanah itu dijangka meningkatkan aset bersih kumpulan itu pada masa depan memandangkan potensi sumbangan keuntungan masa depan yang terhasil daripada cadangan pembangunan itu.

 

"Kesan pembangunan yang dicadangkan terhadap penggearan kumpulan akan bergantung kepada campuran pembiayaan yang akan digunakan," kata  EcoWorld Malaysia. - DagangNews.com