EdgePoint tingkatkan akses keterhubungan, literasi digital kepada pelajar di Malaysia, Indonesia dan Filipina | DagangNews Skip to main content

EdgePoint tingkatkan akses keterhubungan, literasi digital kepada pelajar di Malaysia, Indonesia dan Filipina

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - EdgePoint Infrastructure melancarkan program ‘Connectivity for Communities’, sebuah inisiatif tanggungjawab korporat serantau yang bertujuan untuk memberikan akses internet kepada pelajar yang tinggal di kawasan kurang mendapat perhatian.

 

Syarikat telekomunikasi dan infrastruktur bebas itu berkata, program tersebut yang dilancarkan di Malaysia, Indonesia dan Filipina, adalah sebahagian dari komitmen EdgePoint untuk menaiktaraf akses sambungan internet ke taraf yang lebih saksama, terutamanya di komuniti-komuniti yang kurang mendapat perhatian. 

 

Katanya, untuk memastikan komuniti-komuniti yang betul mendapat faedah inisiatif itu, EdgePoint bekerjasama dengan organisasi-organisasi tempatan yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai keperluan komuniti akar umbi di setiap lokasi, yang membolehkan mereka membina program tepat untuk menaiktaraf ketersambungan dan mempromosikan literasi digital. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas EdgePoint Infrastructure, Suresh Sidhu berkata, pihaknya ingin memastikan bahawa kanak-kanak dalam komuniti-komuniti ini mendapat semua peluang yang boleh memanfaatkan potensi mereka. 

 

Katanya, langkah pertama ialah untuk memastikan mereka mempunyai sambungan yang berkualiti dan boleh dipercayai, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. 

 

"Program yang berkesan juga perlu direka untuk memastikan kanak-kanak ini boleh meningkatkan kadar literasi digital mereka dengan lebih pantas. 

 

"EdgePoint ialah pakar dalam perhubungan dan kerjasama kami dengan organisasi-organisasi sosial yang betul dapat membantu untuk mencapai matlamat kami. 

 

 

edgepoint
Suresh Sidhu

 

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan organisasi-organisasi tempatan yang komited untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk semua," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Di Malaysia katanya, EdgePoint bekerjasama dengan Impact Malaysia, sebuah inisiatif sosial yang bergerak di bawah nama 'Impact Intergated', merupakan badan bukan kerajaan yang bersekutu dengan Kementerian Belia dan Sukan, memanfaatkan kepakaran mereka dalam menyediakan sambungan jalur lebar dan program-program literasi digital di sekolah luar bandar. 

 

Katanya, bermula di Pahang dan Sarawak, EdgePoint akan membina pusat sumber di sekolah-sekolah terpilih yang akan dilengkapi dengan peranti digital yang diperlukan, serta mengubahsuai kawasan umum untuk pelajar. 

 

Di samping itu katanya, EdgePoint juga akan bekerjasama untuk memacu program literasi digital jangka panjang untuk para pelajar di sekolah-sekolah tersebut. 

 

Sehingga hari ini, Connectivity for Communities telah memudahkan ketersambungan untuk 6 sekolah, dan telah memberi kesan kepada lebih 5000 pelajar. Program ini menyasarkan untuk memberi manfaat untuk 10 sekolah lagi untuk 2024. - DagangNews.com