EDOTCO, ChargeSini jalin kerjasama pasang 200 stesen pengecas EV | DagangNews Skip to main content

EDOTCO, ChargeSini jalin kerjasama pasang 200 stesen pengecas EV

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Feb - Pemain utama dalam industri infrastruktur telekomunikasi, EDOTCO menjalinkan kerjasama dengan penyedia pengecas kenderaan elektrik (EV), ChargeSini bagi merevolusikan infrastruktur EV di Malaysia.

 

Perjanjian kerjasama ini akan menyaksikan pemasangan stesen pengecas EV di 200 lokasi berpotensi di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan EDOTCO dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Pengalaman luas EDOTCO dalam infrastruktur telekomunikasi yang merupakan pemain utama dalam menyediakan penyambungan kuasa di tempat letak kereta terpilih bakal memastikan penyepaduan lancar stesen pengecasaEV ke dalam infrastruktur sedia ada.

 

Pengarah Perniagaan Malaysia Kumpulan EDOTCO, Gayan Koralage berkata, ketika ini terdapat lebih 13,000 buah EV di Malaysia dan jumlah itu dijangka melonjak sehingga 500,000 pada 2025.

 

Katanya, ini membuatkan permintaan untuk kemudahan pengecas EV yang lengkap dan menyeluruh di seluruh Malaysia menjadi sangat tinggi dalam masa terdekat.

 

"Infrastrutur kami telah ada di lokasi strategik seperti pusat beli-belah, lapangan terbang, hospital, universiti dan lampu jalan pintar yang boleh disepadukan dengan ekosistem EV yang semakin berkembang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas ChargeSini, James Goh berkata, kerjasama ini mewakili gabungan pengalaman luas EDOTCO dalam infrastruktur telekomunikasi dengan kecanggihan pendekatan ChargeSini dalam teknologi pengecas EV.

 

"Kerjasama dua pihak ini tidak hanya memperluaskan infrastruktur tetapi juga mempercepatkan kemampanan dalam sektor pengangkutan di Malaysia.

 

"Kami komited untuk meningkatkan penggunaan EV di negara ini, sejajar dengan wasan negara untuk memelihara alam sekitar dan masa depan yang mampan," jelasnya..- DagangNews.com