Educity Iskandar tubuh pasukan khas tangani isu kesihatan mental | DagangNews Skip to main content

Educity Iskandar tubuh pasukan khas tangani isu kesihatan mental

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Okt. - EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) mengumumkan pasukan pertama yang disahkan sebagai 'Mental Health First Aiders' yang terdiri daripada 8 orang kakitangan sempena "The Epilogue of HAPPY (Amalan Sihat, Aktif dan Damai untuk Anda) yang dianjurkan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.

 

 

Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, program tersebut selari dengan usaha berterusan EduCity untuk memperjuangkan perbincangan mengenai kesihatan mental.

 

 

"Kami memutuskan untuk melatih kakitangan kami, termasuk warden pelajar di EduCity Village sebagai Mental Health First Aiders.

 


"Kami memahami akan beberapa cabaran yang dihadapi terutama dalam waktu pandemik dan sekarang para pelajar perlu menyesuaikan diri dengan pembelajaran berdasarkan keperluan baharu yang mematuhi SOP," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 



Beliau berkata, cabaran pelajar ketika pandemik ini menyaksikan mereka mengalami keletihan zoom yang teruk, dan ada yang menghadapi masalah pembelajaran, terutamanya apabila tidak dapat berinteraksi secara fizikal dengan rakan sebaya dan pensyarah. 

 

 

"Di sinilah Mental Health First Aider memainkan peranan penting. Mereka akan menawarkan intervensi awal melalui Kit Pertolongan Cemas Kesihatan Mental H.A.P.P.Y.

 

 

"Mental Health First Aiders dilatih untuk mengenalpasti, mencari tanda, pencetus, serta gejala, dan mengetahui cara membimbing seseorang ke arah rawatan yang sesuai dan bantuan sokongan lain," katanya.

 

 

EduCity Iskandar Malaysia adalah bandar pendidikan pelbagai kampus pertama di Asia dan merupakan destinasi pengajian pilihan yang terdiri daripada institusi pendidikan tinggi, pusat latihan dan sekolah antarabangsa.

 



Antara institusi pengajian tinggi di Educity termasuklah Kolej Universiti Maritim Belanda, Universiti Reading Malaysia, Kolej MDIS Malaysia, Universiti Raffles, Universiti Southampton Malaysia dan Kolej Antarabangsa EduCity.-DagangNews.com