Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat angkat semula darjat, martabat Malaysia sebagai kerangka ekonomi baharu - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat angkat semula darjat, martabat Malaysia sebagai kerangka ekonomi baharu - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di ibu negara pada 27 Julai 2023. - Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.

 

Anwar berkata, ia boleh dicapai dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara. 

 

Beliau berkata, ia akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.

 

"Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

 

Menurut Anwar, ia merupakan sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai cabaran saat ini meliputi isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

 

Katanya, ia termasuk isu-isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat.

 

 

anwar

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Katanya, Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudahpun digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang mengesankan rakyat.

 

"Ini termasuklah, menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif. Pelbagai usaha kita lakukan, tambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta turunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan klinik daif.

 

"Kedua, menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha telah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung," katanya.

 

Tambah beliau, konsep Payung RAHMAH turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup.

 

"Payung RAHMAH diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham saudara Salahuddin Ayub. Semua yang mengenali beliau amat terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini. 

 

"Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta," katanya. - DagangNews.com