ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 7.8% tahun hadapan, berbanding unjuran 6.3% sebelum ini.
Bagaimanapun, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini disemak semula dengan menguncup 6%.
IMF pada Jun lalu lalu menjangkakan KDNK negara akan menguncup 3.8% berikutan impak COVID-19 terhadap ekonomi global.
"Namun, negara ekonomi Asia dijangka mempunyai penurunan yang lebih sederhana berbanding di Eropah.
"Ini memandangkan penguncupan KDNK pada kadar yang rendah mencerminkan keadaan pandemik terkawal pada separuh pertama 2020.," menurutnya dalam laporan kemas kini Prospek Ekonomi Dunia 2020.
Pertumbuhan KDNK benar Malaysia menguncup 17.1% pada suku kedua yang juga prestasi terburuk dan mengatasi paras terendah sejak krisis kewangan Asia pada -11.2% pada suku kedua 1998.
IMF turut menjangkakan ekonomi global menyusut 4.4% tahun ini berbanding 5.2%, seperti unjuran yang dibuat Jun lalu, ketika aktiviti perniagaan ditutup.
Sebahagian pakej rangsangan ekonomi berjumlah AS$12 trilion (RM49.7 trilion) yang disalurkan ke negara ekonomi membangun secara tidak langsung dapat mengawal kerosakan yang lebih buruk, tetapi tidak bagi negara miskin dan ekonomi baharu muncul.
Menurut Reuters, dalam mesyuarat tahunan antara IMF dan Bank Dunia semalam, badan ekonomi dunia itu melihat pandemik COVID-19 masih terkawal tetapi jika langkah mengawal wabak itu menemui kegagalan, tidak mampu mengekalkan pakej rangsangan ekonomi dan menangani hutang antara negara-negara miskin, ia kemungkinan menghancurkan usaha pemulihan yang rapuh.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, kerajaan perlu fokus pada penjagaan kesihatan dalam menangani wabak ini dan tidak menarik balik langkah rangsangan ekonomi.
"Jika kita menarik balik bantuan yang diberikan kepada keluarga dan perniagaan sebelum negara melangkah keluar daripada krisis kesihatan ini, ini mungkin boleh menyebabkan bankrap, pengangguran dan melakukan apa yang mereka mampu setakat ini," katanya. - DagangNews.com