Ekonomi Malaysia berkembang 5.9% pada suku kedua 2024 didorong permintaan domestik kukuh - BNM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia berkembang 5.9% pada suku kedua 2024 didorong permintaan domestik kukuh - BNM

Inflasi keseluruhan dan teras berada pada purata 1.8% pada separuh pertama tahun 2024. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024 didorong permintaan domestik yang lebih kukuh serta perkembangan positif eksport negara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Bank pusat itu berkata, perbelanjaan isi rumah meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang kekal positif dan sokongan dasar yang lebih meluas manakala aktiviti pelaburan disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.
 

Katanya, eksport bertambah baik berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi dan limpahan peningkatan kitaran teknologi global yang positif.

 

"Sektor perkilangan disokong oleh peningkatan yang menyeluruh merentas semua kelompok, khususnya kelompok elektrik dan elektronik (E&E). 

 

"Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh, didorong oleh subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.9% (S1 2024: 1.5%)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat pertumbuhan 4.2% pada suku pertama 2024, terus didorong oleh perbelanjaan swasta

 

Pada tahun ini sehingga 13 Ogos 2024, ringgit mengukuh sebanyak 3.1% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pada asas kadar pertukaran efektif nominal, ia turut mengukuh sebanyak 5.3%

 

Hal itu sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan yang semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran kewangan berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS, yang telah meredakan tekanan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit. 

 

bnm
Sehingga Ogos 2024 ringgit mengukuh sebanyak 3.1% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) beserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus memberikan sokongan terhadap ringgit. 

 

"Semua usaha ini telah menyebabkan aliran yang lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pasaran pertukaran asing. Purata harian bagi jumlah urus niaga pertukaran asing (foreign exchange, FX) telah meningkat kepada AS$18 bilion untuk tempoh 26 Februari hingga 13 Ogos 2024," katanya.

 

Bank-bank terus memberikan pinjaman

Pertumbuhan kredit dalam sektor bukan kewangan swasta meningkat kepada 5.4% berikutan pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih tinggi dan bon korporat terkumpul. 

 

Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan dan pinjaman modal kerja. 

 

bnm
Pertumbuhan pinjaman terkumpul masih berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

 

"Mengikut sektor, pertumbuhan yang lebih kukuh dicatatkan oleh sektor pembinaan dan perkilangan. 

 

"Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul masih berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Permintaan bagi pinjaman isi rumah kekal menggalakkan, terutamanya untuk gadai janji," kata BNM.

 

Inflasi meningkat sedikit kepada 1.9%

Bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berada pada purata 1.8% pada separuh pertama tahun 2024. 

 

Katanya, pada suku kedua, inflasi keseluruhan dan inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9%, peningkatan itu sebahagian besarnya didorong oleh inflasi perumahan dan utiliti yang lebih tinggi pada 3.1%. 

 

"Bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan adalah lebih tinggi pada 49.4% pada suku kedua. Hal ini sebahagiannya mencerminkan pelarasan harga semasa musim perayaan serta beberapa langkah dasar oleh kerajaan sepanjang tempoh tersebut.  

 

bnm
Inflasi keseluruhan dan teras dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 disebabkan rasionalisasi diesel.

 

"Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka meningkat sedikit pada separuh kedua tahun 2024 disebabkan terutamanya oleh rasionalisasi subsidi diesel. 

 

"Bagaimanapun, kesan daripada rasionalisasi tersebut kekal terurus berikutan langkah-langkah pengurangan oleh kerajaan untuk meminimumkan impak kos kepada perniagaan," katanya. - DagangNews.com