KUALA LUMPUR 27 Jun - Keselamatan pelantar minyak antara yang menjadi tumpuan pasukan keselamatan negara memandangkan lokasi ini merupakan sasaran penting yang perlu dilindungi.
Sebagai negara yang bergantung pada petroleum dan gas, maka sumber ekonomi negara ini perlu dipastikan berada dalam keadaan selamat serta terlindung daripada ancaman.
Disebabkan itu kawasan pelantar minyak tidak terkecuali menjadi medan latihan pasukan keselamatan khususnya dalam menangani senario sekiranya berlaku pencerobohan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini telah melaksanakan Eksesais Jerung Emas Siri 69/2023 iaitu simulasi menyelamatkan kawasan strategik ini daripada musuh.
Eksesais tersebut melibatkan ATM dan Petronas yang dilaksanakan di Pelantar Dulang B di luar pesisir pantai Terengganu.
Ia melibatkan seramai 121 pegawai dan anggota Paskal, Gerup Gerak Khas dan Paskau serta 124 kakitangan Petronas.
Eksesais ini bertemakan menangani krisis keganasan menerusi operasi khas secara bersama bagi menyelamatkan pelantar minyak yang berdepan dengan ancaman.
Ia dilaksanakan dalam bentuk 'Field Training Exercise' dengan konsep pelaksanaan serbuan serta menyelamat tebusan oleh pasukan penggempur ATM.
Eksesais ini bertujuan untuk menguji Emergency Respond Plan (ERP) operator pelantar minyak iaitu Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) dan tindak balas agensi kerajaan berkaitan selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 18.
Dalam simulasi ini, pasukan penggempur ATM telah melakukan penyusupan dari laut dan udara untuk merapat ke pelantar minyak yang telah diceroboh musuh.
Tatacara eksesais ini juga dapat memberi pendedahan keselamatan kepada operator pelantar minyak sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan.
Keseluruhan pelaksanaan eksesais telah berjalan dengan jaya mengikut sepertimana yang digariskan.
Upacara penutup eksesais telah dilaksanakan pada 20 Jun lalu oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Noor Mohamad Akmar Mohd Dom serta dihadiri pegawai-pegawai kanan ATM dan Petronas. - DagangNews.com