KUALA LUMPUR 12 Julai - Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama getah asli Malaysia pada Mei 2024 dengan nilai sebanyak RM1.25 billion, meningkat 14.1% berbanding April 2024 (RM1.09 billion).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keseluruhannya eksport getah asli Malaysia berjumlah 50,796 tan metrik pada Mei 2024, meningkat 6.3% berbanding April 2024 (47,795 tan metrik).
Katanya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 39.2% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2024 diikuti India (10.6%), Jerman (9.4%), Emiriah Arab Bersatu (6.5%) dan Amerika Syarikat (4.6%).
"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.25 billion pada Mei 2024, meningkat 14.1% berbanding April 2024 (RM1.09 billion)," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu bagi mengulas Perangkaan Getah Malaysia Mei 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata, pengeluaran getah asli meningkat 20.1% pada Mei 2024 (25,608 tan metrik) berbanding pada April 2024 (21,325 tan metrik).
Menurut beliau, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 6.1% (Mei 2023: 24,126 tan metrik).
Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.2%) berbanding sektor estet (11.8%).
"Jumlah stok getah asli pada Mei 2024 menurun 16.9% kepada 175,368 tan metrik berbanding 211,119 tan metrik pada April 2024.
"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.5%) dan estet getah (0.1%)," jelasnya.
Tambah Dr Mohd Uzir, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 1.2% (Mei 2024: 742.36 sen sekilogram; April 2024: 733.58 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat sebanyak 2.7% (Mei 2024: 657.16 sen sekilogram; April 2024: 639.62 sen sekilogram).
Katanya, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.2% hingga 3.2%.
"The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 3.9% (daripada USD 1.63/kg kepada USD1.69/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 5.4% (daripada USD2.28/kg kepada USD2.15/kg).
"Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Mei 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bermula dengan peningkatan G.M.M 20 melonjak pada tahap tertinggi baharu iaitu pada 840.00 sen/kg, tertinggi sejak April 2017 sebelum berkurangan menjelang penghujung bulan," ujarnya.
Secara amnya, beliau berkata, sentimen pasaran dirangsang oleh saranan tegas dalam pasaran hadapan getah serantau di tengah kebimbangan bekalan bahan mentah global yang terhad di kebanyakan negara pengeluar utama berikutan cuaca hujan lebat.
"Sentimen pasaran juga disokong oleh jualan kereta yang kukuh serta langkah rangsangan terkini yang diumumkan bagi meningkatkan ekonomi China," katanya.- DagangNews.com