Eksport Pulau Pinang turun RM2 bilion pada Jan 2024, Johor meningkat - DOSM | DagangNews Skip to main content

Eksport Pulau Pinang turun RM2 bilion pada Jan 2024, Johor meningkat - DOSM

Pulau Pinang, Johor dan tiga negeri lain menyumbangkan 81.8% daripada eksport keseluruhan Malaysia. Gambar hiasan Penang Port
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb - Jumlah eksport Pulau Pinang turun sebanyak RM2.0 bilion pada Januari 2024 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam penerbitan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Januari 2024.

 

Meski pun demikian, nilai eksport yang berjumlah RM34.6 bilion itu tetap mengekalkan Pulau Pinang sebagai pengeksport utama di Malaysia berbanding negeri lain dengan sumbangan 28.2 peratus.

 

Menurut DOSM, eksport kedua tertinggi ialah Johor berjumlah RM27.4 bilion (22.4%), Selangor RM22.1 bilion (18.0%), Sarawak RM10.7 bilion (8.7%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, RM5.5 bilion (4.5%).

 

Lima negeri ini menyumbangkan 81.8% daripada eksport keseluruhan Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, keseluruhannya Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM234.7 bilion pada Januari 2024 dengan eksport sebanyak RM122.4 bilion.

 

Menurut beliau, jumlah eksport Januari 2024 itu meningkat sebanyak RM9.8 bilion atau 8.7% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

 

Katanya, peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5.6 bilion), Selangor (+RM3.3 bilion), Kedah (+RM1.2 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Perak (+RM640.1 juta), Pahang (+RM609.8 juta), Terengganu (+RM308.1 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM92.3 juta) dan Kelantan (+RM82.8 juta). 

 

"Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Pulau Pinang sebanyak RM2.0 bilion, W.P. Labuan (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM196.9 juta), Melaka (-RM188.5 juta), Negeri Sembilan (-RM130.7 juta) dan Perlis (-RM11.6 juta)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

dosm

 

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Dr. Mohd Uzir memaklumkan import pada bulan Januari 2024 meningkat RM17.8 bilion (+18.8%) berbanding bulan yang sama pada 2023. 

 

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM7.0 bilion), Selangor (+RM4.9 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM2.8 bilion), Pulau Pinang (+RM1.1 bilion), Pahang (+RM739.1 juta), Melaka (+RM618.3 juta), Kedah (+RM445.1 juta), Negeri Sembilan (+RM167.5 juta), Terengganu (+RM153.8 juta), Kelantan (+RM28.0 juta), Sabah (+RM22.5 juta) dan Perlis (+RM6.7 juta).

 

"Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM261.2 juta, W.P. Labuan (-RM51.4 juta) dan Perak (-RM19.1 juta).

 

Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.4 peratus, diikuti oleh Johor (23.7%), Pulau Pinang (19.1%), W.P. Kuala Lumpur (8.8%) dan Kedah (5.6%)," ujarnya. - DagangNews.com