Embayu @ Damansara West catat 80% kadar tempahan | DagangNews Skip to main content

Embayu @ Damansara West catat 80% kadar tempahan

 

 


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Projek Embayu @ Damansara West yang dibangunkan PRG Holdings Bhd. setakat ini mencatat jumlah tempahan sebanyak 80% untuk Menara A dan B. 

 

Dengan sambutan yang menggalakkan ini, PRG teruja untuk melancarkan menara terakhir dalam tempoh 2 bulan akan datang.

 

Pengarah Urusan Hartanah dan Pembinaan PRG, Datuk Alex Wee Cheng Kwan berkata, dengan mengambil kira sambutan memberangsangkan ini, ia dijang dapat mencapai tempahan 100% untuk Embayu @ Damansara West sebelum tarikh siap yang disasarkan pada Disember 2022. 

 

"Melangkah ke hadapan, membina perumahan mampu milik akan terus menjadi tumpuan PRG. 

 

"Kami akan mengumumkan projek kami yang akan datang tidak lama lagi, yang mana dilaksanakan melalui pengambilalihan bidang tanah atau secara usaha sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Embayu @ Damansara West yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM267 juta merupakan projek sulung pembangunan hartanah mampu milik PRG, yang terlibat terutamanya dalam perniagaan pembuatan, pembangunan hartanah, pembinaan dan penjagaan kesihatan.

 

Dengan bertemakan resort, pembangunan projek ini terletak di kawasan seluas 6.5 ekar yang menawarkan 650 unit kediaman dengan harga bermula RM450,000 untuk dari seluas 1,000 kaki persegi dan seterusnya. 

 

Dari segi fasiliti dan jalinan infrastruktur, kawasan ini dihubungkan dengan lebuh raya utama seperti DASH, Lebuhraya GCE Guthrie, NKVE dan Lebuhraya Persekutuan. 

 

PRG mencatatkan prestasi pemulihan untuk suku kedua 2021 dengan pendapatan sebanyak RM38.1 juta dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM15.9 juta. 

 

Pendapatan dan keuntungan sebelum cukai itu masing-masing adalah lebih tinggi sebanyak RM16.9 juta dan RM18.4 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya didorong oleh pendapatan yang dijana daripada perniagaan pembrokeran sekuriti yang mana telah dilupuskan; peningkatan pendapatan dari anak syarikat pembuatan serta peningkatan pendapatan dari projek pembangunan harta tanah Embayu @ Damansara West.

 

Kumpulan juga mendapat manfaat daripada pembalikan liabiliti pajakan iaitu pengiktirafan pendapatan sekali sahaja, yang timbul daripada penamatan awal dan penurunan perbelanjaan operasi oleh perniagaan runcitnya. - DagangNews.com