Empat helikopter bersaing untuk jadi calon pengganti pesawat Nuri PUTD | DagangNews Skip to main content

Empat helikopter bersaing untuk jadi calon pengganti pesawat Nuri PUTD

Helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk antara calon terbaik untuk PUTD.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 Jan - Walaupun rancangan perolehan helikopter pengangkut saiz sederhana untuk Tentera Darat belum diputuskan, namun beberapa firma dipercayai mula mengintai peluang tersebut.

 

Dijangkakan semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 (DSA) di sini pada Mei depan, banyak firma yang hadir akan menonjolkan aset udara berkenaan.

 

Ini kerana DSA merupakan pameran pertahanan yang memberikan fokus pada kelengkapan dan aset-aset pertahanan serta keselamatan tentera darat.

 

Ia juga medan terbaik kepada firma-firma yang mengintai peluang untuk mempamerkan kelebihan aset yang dibawa kepada kepimpinan Tentera Darat dan Mindef.

 

Helikopter
PUTD mencari helikopter pengganti setanding dengan Sikorsky Nuri.

 

Perolehan helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ini bagi menggantikan pesawat Sikorsky S-61A-4 Nuri yang ditamatkan perkhidmatan empat tahun lalu.

 

Sejak tempoh itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) belum memutuskan helikopter pengganti Nuri, cuma langkah jangka pendek ialah menyewa pesawat lain daripada pihak ketiga.

 

Mindef pada Mei lalu menandatangani kontrak sewaan helikopter tersebut dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.

 

Empat buah helikopter ini akan disewa untuk tempoh lima tahun sebelum PUTD memutuskan perolehanan helikopter yang diinginkan.

 

Biarpun keputusan tidak akan dibuat segera tetapi penting untuk usaha melobi helikopter PUTD dilakukan lebih awal dan bersifat jangka panjang.

 

Helikopter
Helikopter Black Hawk mengangkut meriam untuk dipindahkan.

 

Sekurang-kurangnya empat jenis pesawat mempunyai potensi untuk ditawarkan kepada pasukan tersebut sesuai dengan fungsinya sebagai helikopter pengangkut.

 

Antara tersebut ialah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk, H225M Airbus, KUH-1 Surion dan Mi-171A2.

 

Secara amnya, fungsi helikopter pengangkut ini ialah untuk membawa anggota tentera, bekalan dan kelengkapan selain boleh diperanankan untuk misi selain ketenteraan.

 

Dengan iklim negara yang sering berhadapan dengan musibah banjir, ini juga merupakan aspek penting yang diperlukan pada sesebuah helikopter pengangkut.

 

Sepanjang dekad lalu, helikopter Nuri telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam tugas-tugas ini termasuklah operasi menghantar anggota tentera ke barisan hadapan.

 

Helikopter
Helikopter Airbus H225M.

 

Helikopter
TUDM mengoperasikan dengan baik 12 buah pesawat H225M.

 

Secara asasnya juga, helikopter pengangkut tidaklah perlu mempunyai sistem elektronik yang terlalu canggih tetapi memadai untuk memudahkan juruterbang mengendalikan pesawat termasuklah pada waktu malam dan cuaca mencabar.

 

Memandangkan sedikit masa lagi PUTD akan mengoperasikan helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewa, maka peluang untuk jenama Sikorsky menjadi pilihan Tentera Darat amat cerah.

 

Black Hawk merupakan helikopter utiliti ketenteraan yang paling berjaya dan banyak digunakan khususnya oleh tentera negara barat menerusi pelbagai varian sejak empat dekad lalu.

 

Tentera AS sahaja memiliki lebih 2,000 helikopter Black Hawk dengan varian yang terbaharu ialah UH-60M.

 

Helikopter
KAI KUH1-Surion.

 

Sudah pasti rakan strategik Sikorsky di Malaysia mahu khidmat helikopter tersebut menjadi pilihan Mindef.

 

Mengintai peluang sama ialah Korea Aerospace Industries (KAI) apabila dilihat mula melobi helikopter buatannya, KUH-1 Surion.

 

KAI yang berjaya membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melihat PUTD sebagai potensi baharu.

 

Ketika ini sebanyak 300 helikopter KUH-1 Surion telah dibina untuk tentera Korea Selatan dan kegunaan komersial.

 

Hubungan diplomatik yang akrab dengan Malaysia menjadi sebab kukuh buat Rusia untuk meneruskan kedudukan sebagai pembekal kelengkapan ketenteraan di sini.

 

Helikopter
Helikopter Mi-171A2 terbaharu buatan Rusia.

 

Helikopter
Helikopter Mi-171 bomba beraksi cemerlang dalam misi bantuan kemanusiaan khususnya semasa musibah banjir.

 

Sejak dekad lalu, Rusia melalui rakan niaga di sini giat memperkenalkan sebarang aset yang berpotensi untuk dipertimbangkan Malaysia termasuk helikopter utiliti Mi-171A2.

 

Helikopter Mi-17, walaupun rekaan legasi era Soviet tetapi diakui sebagai helikopter pengangkut yang terbukti lasak dan telah digunakan dalam banyak pertempuran di seluruh dunia.

 

Lebih 70 negara menggunakan pelbagai variasi helikopter Mi-17 termasuklah Malaysia menerusi pasukan bomba sejak 20 tahun lalu.

 

Bagi Airbus H225M pula, walaupun fokus Airbus ialah untuk memenangi kontrak dengan TUDM bagi perolehan 12 pesawat tambahan, namun peluang untuk bersaing sebagai aset PUTD positif.

 

Ini kerana H225M juga mempunyai varian untuk kegunaan tentera darat dengan memenangi ciri-ciri sebagai helikopter pengangkut. - DagangNews.com